utama

Genting beli Equanimity RM514 juta

Oleh Murni Wan Omar dan Mahaizura Abd Malik

KAPAL layar mewah Equanimity akan dijual kepada Genting Malaysia Bhd pada harga RM514 juta (126 juta AS Dolar).

Peguam Negara Tommy Thomas berkata, Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur memberikan kelulusan menerima tawaran membeli Equanimity daripada syarikat berkenaan atas terma dan syarat pegawai mahkamah.

“Harga jualan 126 juta AS Dolar akan dibayar oleh Genting dan diterima mahkamah pada penghujung bulan ini.

“Ini bakal menjadikan jumlah pemulihan daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tertinggi setakat ini untuk kerajaan Malaysia dalam jangka masa cuma lapan bulan dari tarikh tindakan ini dimulakan.

“Jumlah 126 juta AS Dolar ini adalah tawaran terbaik yang diterima dalam tempoh lima bulan sejak Oktober tahu lalu apabila Equanimity diumumkan untuk jualan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu banyak tawaran diterima, namun hanya sebilangan kecil sahaja yang melebihi 100 juta AS Dolar.

“Genting menawarkan harga tertinggi, yang mana pada hari ini diluluskan mahkamah untuk menerima tawaran itu.

“Memandangkan tawaran daripada Genting telah dirunding secara terus dengan kerajaan Malaysia, tiada komisyen ejen perlu dibayar sekaligus membawa kepada penjimatan sebanyak 4.4 juta AS Dolar.

“Kesannya, meskipun nilaian harga pasaran Equanimity oleh Winterbotham sebanyak 130 juta AS Dolar tidak dicapai, namun pulangan bersih kepada kerajaan Malaysia adalah yang sebaiknya,” katanya.

Menurutnya, jualan kehakiman pada nilai berkenaan merekodkan sejarah tersendiri.

“Jumlah ini merekodkan tanda aras yang tinggi bagi sistem kehakiman kita dalam hal memastikan nilai pasaran diperoleh daripada kapal yang dijual melalui proses mahkamah, tanpa sebarang diskaun.

“Perkara ini harus dipuji, memandangkan hasil ini dicapai daripada jualan kapal layar besar yang mewah dan canggih yang mana kumpulan pembelinya adalah terlalu kecil,” katanya.

Katanya, harga jualan yang sangat memuaskan itu berjaya dicapai sebahagian besarnya melalui kepakaran dan kemahiran kumpulan perundangan yang mewakili kerajaan Malaysia.

“Kumpulan perundangan ini bertindak melangkaui tuntutan tugas mereka, bergerak untuk bertemu dengan pembeli berpotensi di Hong Kong dan London selain menanggung sendiri kos-kos perjalanan bagi memastikan jangkauan seluas mungkin serta untuk memahami dengan lebih baik keadaan-keadaan jualan berkenaan.

“Ini juga hasil kerjasama pegawai mahkamah yang tangkas dan mantap serta profesional dan kesediaan Hakim Admiralti untuk bertindak dalam keadaan amat luar biasa,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan ketelusan, suatu kenyataan lanjut akan dikeluarkan sebaik sahaja harga jualan diterima dan perincian perbelanjaan ditanggung serta jumlah bersih yang akan dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB yang baru dibuka.

“Kerajaan Malaysia juga berterima kasih kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memastikan keselamatan dan kesejahteraan kapal berkenaan sepanjang tempoh tahanan sekaligus membantu mengurangkan kos penyelenggaraan.

“TLDM bermurah hati memberikan ruang untuk Equanimity berlabuh selama lebih lima bulan tanpa sebarang caj dikenakan.

“Malah dengan berhati-hati mengiringi kapal semasa membuat ‘sea trials’ bersama pembeli berpotensi,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 12:36pm
d