utama

Penuntut kolej langgar polis trafik didakwa esok

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PENUNTUT kolej swasta yang merempuh anggota polis trafik di persimpangan lampu isyarat di Jalan Hishamuddin ke Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, pagi semalam akan didakwa di mahkamah, esok.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur memaklumkan pertuduhan terhadap penuntut berusia 25 tahun itu akan dibuat di Mahkamah Trafik Kuala Lumpur, Jalan Duta ada 9 pagi.

Lelaki itu sepatutnya dituduh hari ini, namun ditunda esok selepas mendapat persetujuan daripada pendakwa raya.

Dalam kejadian 8.11 pagi semalam, Konstabel Aniq Mohd Kasim, 22, yang sedang membuat kawalan lalu lintas di simpang berkenaan dilanggar kereta Mercedes Benz E200 yang datang dari arah depan.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dari arah Jalan Hishamuddin ke arah Jalan Raja Laut sebelum melanggar Aniq.

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa tercampak di tengah jalan dan cedera ringan di bahagian kaki dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tular selepas dimuat naik di media sosial.

Berita berkaitan

'Tak nampak ke polis trafik? [METROTV]'

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 8:50pm
d