utama

Jawab dapat sambutan luar biasa

Oleh Syanty Octavia Amry

TIDAK menyangka sambutan luar biasa diterima daripada peminat terhadap single pertamanya berjudul Jawab, pendatang baru, Kucaimars, 22, begitu terharu atas sokongan itu.

Walaupun masih baru dalam bidang nyanyian, lagu Jawab berjaya mendapat kedudukan 10 Terbaik di platform Joox. Selain itu, muzik video Jawab yang dilancarkan sejak 29 Mac lalu juga trending di tempat ke-25 di YouTube.

Berkongsi perasaannya mengenai perkara itu, penyanyi bernama sebenar Amirul Husyairi Nani itu berkata, semua yang dilakukan hanyalah kerana minat dan dia tidak menyangka mendapat sokongan ramai pihak.

Sejak meminati bidang nyanyian ketika di bangku sekolah lagi, Kucaimars mula aktif menyanyi.

“Saya sangat bersyukur dan tidak sangka peminat menyukai lagu Jawab. Saya anggap ia rezeki untuk pendatang baru seperti saya. Bukan mudah untuk menguasai bidang nyanyian yang kini dipenuhi pelapis baru. Saya berharap lagu Jawab akan terus mendapat perhatian dan tempat di carta digital dan laman sosial,” katanya.

Bakal tampil dengan single kedua tidak lama lagi, Kucaimars mempertaruhkan lagu ciptaannya kali ini. Menurutnya, lagu berkenaan sudah lama dihasilkan sejak dia di bangku sekolah bersama kumpulan muziknya iaitu Demarz.

Baginya, tidak salah mencuba sesuatu yang baru walaupun dia begitu menyukai lagu ciptaan Akim & The Majistret.

“Saya sudah bersedia dengan single kedua dan insya-Allah akan dilancarkan selepas Aidilfitri nanti. Apa yang saya lakukan bukan kerana yakin lagu Jawab akan terus mendapat sambutan tetapi lagu kedua ini sudah terlalu lama saya simpan.

“Tidak sabar untuk melancarkannya dan melihat maklum balas peminat. Saya pasti muziknya yang rancak sesuai dengan selera pendengar sekarang ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 5:30am
d