utama

Nadiya Nisaa sedia berkorban

Oleh Ardini Sophia Sina

SEDALAM mana pun cinta seseorang pada kerjayanya, keluarga tetap menjadi keutamaan.

Apatah lagi apabila menggalas tanggung­jawab sebagai ibu, pastinya kebajikan anak-anak adalah nombor satu.

Begitu jugalah dengan penyusunan hidup yang dibuat Nadiya Nisaa. Sebagai pelakon, dia akui sukar untuk duduk diam dalam tempoh yang lama. Apatah lagi apabila ada tawaran menarik yang datang, pastinya bukan mudah untuk memilih dan menolak.

Bagaimanapun, Nadiya tidak keberatan untuk memperlahankan sedikit rentak seni demi menjaga dua orang anaknya. Dalam setiap keputusan, ada perkara yang perlu dikorbankan.

“Bukan mudah menolak tawaran berlakon kerana itu adalah kerjaya saya. Bagaimanapun, saya harus bijak membuat pilihan. Ketika ini saya hanya terima tawaran yang saya rasa masa yang diluangkan untuk filem atau drama itu berbaloi.

“Dulu agak mudah sedikit kerana hanya ada seorang anak. Tetapi, sekarang ini saya harus lebih bijak membahagikan masa kerana anak kedua, Aminah Rose baru berusia tiga bulan.

“Dia masih kecil dan memerlukan penjagaan rapi. Tambahan pula, saya nekad untuk menjaga dan membesarkan anak sendiri tanpa bantuan orang luar,” katanya.

Nadiya yang melahirkan Aminah pada 1 Januari lalu kini sibuk dengan promosi filem terbarunya, Bu. Bagaimanapun, dia berterima kasih kerana suami, Saiful Razman Mohd Kassim sangat memahami dan ringan tulang membantu.

Menurut Nadiya, suaminya juga sanggup bertolak-ansur demi dua anak mereka ketika dia sibuk dengan penggambaran atau aktiviti seni lain. Sejak kelahiran anak pertama, Omar, 8, pasangan itu sepakat untuk tidak menghantar anak mereka ke pusat asuhan atau mengambil pembantu rumah.

Mereka lebih selesa menjaga dan membesarkan sendiri Omar dan Aminah.

“Kami sepakat untuk tidak mengambil pembantu rumah atau menghantar anak-anak ke pusat asuhan. Urusan rumah tangga kami buat sendiri walaupun kadang-kadang bergelut menyusun masa dan jadual.

“Saya sangat bersyukur dan bertuah kerana suami sangat memahami dan bersetuju untuk menghantar dan mengambil anak di sekolah. Kadang-kadang jika kami harus bekerja, dia menyewa studio berdekatan sekolah anak bagi memudahkannya menjemput Omar.

“Biarlah kami bersusah payah kerana menjaga dan membesarkan anak adalah tanggungjawab ibu bapa. Tambahan pula saya sering terbaca dan terdengar cerita kes membabitkan pembantu rumah. Perkara itu pun membuatkan saya berat hati untuk menyerahkan anak di bawah jagaan orang lain,” katanya.

Mungkin ada segelintir individu yang melihat kesukaran Nadiya dan suaminya hadapi dalam membahagikan masa antara kerja dan anak, namun bagi wanita itu, apa yang mereka lakukan adalah demi masa depan anak.

Sedikit pun Nadiya tidak menyesal memilih jalan itu. Dia sanggup berkorban dan bertoleransi dengan kerja asalkan keselamatan anaknya terjamin. Dia sanggup bersusah payah demi dua orang anaknya.

Pernah kehilangan bayi yang juga anak kedua ketika usia kandungan mencecah usia sembilan bulan pada 2016 dan kejadian itu masih segar dalam ingatan.

“Walaupun sudah hampir tiga tahun berlalu, saya sukar melupakan detik itu. Ia benar-benar menguji emosi. Tambahan pula ketika itu saya memang sudah lama mengharapkan kehadiran anak kedua.

Luangkan masa untuk keluarga

“Namun, sudah tertulis bukan rezeki untuk menimang cahaya mata kedua pada ketika itu. Apabila disahkan hamil anak ketiga, saya kemudian ambil keputusan untuk berehat seketika dari dunia seni dan memberikan perhatian pada kandungan,” katanya.

Menurutnya, dia sangat gembira menggalas tanggungjawab sebagai ibu. Walaupun mencabar, namun setiap hari ada saja perkara baru yang dia tahu dan pelajari.

Status sebagai ibu turut menyedarkan Nadiya betapa pentingnya menghargai diri dan keluarga. Dia perlu memastikan kesihatan diri demi dua anak yang masih memerlukan perhatian rapi.

“Saya selesai berpantang pada Februari lalu tetapi saya hanya bersedia menerima tawaran baru-baru ini. Alhamdulillah, jadual seni kembali penuh. Namun, saya tetap pastikan ada masa untuk diluangkan bersama keluarga.

“Selain itu, masa terluang itu juga saya gunakan untuk berehat. Saya tidak mahu membebankan diri hingga menjejaskan kesihatan kerana dua anak saya masih kecil dan perlukan perhatian,” katanya.

Filem Bu bakal ditayang­kan pada 11 April. Selain Nadiya, antara pelakon lain yang membintangi filem itu ialah Wan Hanafi Su, Iedil Putra, Rashidi Ishak, Mawar Rashid dan Remy Ishak.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 6:00am
d