utama

Bukti caj kad kredit RM532,000

Oleh Murni Wan Omar

PEGUAM Negara, Tommy Thomas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa antara bukti yang akan dikemukakan pihak pendakwaan adalah kad kredit milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pernah dicaj sebanyak AS$130,625 (RM532,918.17) bagi perbelanjaan di butik eksklusif, Chanel di Honolulu, Hawaii, Amerika Syarikat.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan pembukaan kes membabitkan Najib yang didakwa atas tujuh tuduhan berhubung dana SRC International Berhad (SRC International) di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Tuduhan itu membabitkan satu mengikut Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menyalahgunakan kedudukan serta masing-masing tiga membabitkan Seksyen 409, Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah jenayah dan Seksyen 4(1)(b), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 kerana pengubahan wang haram.

Menurut Tommy, beban pihak pendakwaan adalah untuk membuktikan kes terhadap Najib melampaui keraguan munasabah bahawa tertuduh bersalah atas semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh terbabit secara terus dengan keputusan pihak kerajaan berhubung pinjaman berjumlah RM4 bilion diterima SRC International daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

“Pendakwaan juga akan mengemukakan bukti terdapat cek dikeluarkan untuk kerja pengubahsuaian rumah tertuduh (Najib) di Langgak Duta di sini, dan rumahnya di Pekan, Pahang serta termasuk kepada beberapa komponen Barisan Nasional,” katanya.

Tommy berkata, dalam membuktikan kes mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah jenayah, pihak pendakwaan akan mengemukakan bukti bahawa terdapat pecah amanah, masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta milik SRC International.

“Kami juga akan membuktikan bahawa resolusi khas diluluskan bagi meminda Artikel Persatuan SRC International untuk melantik Najib sebagai Penasihat Emeritus. Tertuduh tidak jujur dengan dirinya dengan memperoleh secara jenayah wang RM42 juta sehingga menyebabkan SRC International kehilangan dana itu.

“Kami juga akan membuktikan bahawa pada 24 dan 29 Disember 2014, sejumlah RM27 juta milik SRC International dimasukkan ke dalam peribadi Najib melalui akaun syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd and Ihsan Perdana Sdn Bhd.

“Pendakwaan juga akan membuktikan bahawa antara 10 Februari dan 2 Mac 2015, RM10 juga milik SRC International dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh melalui akaun syarikat yang sama,” katanya.

Manakala bagi tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Najib.

“Kami akan membuktikan bahawa tertuduh pada 26 Disember 2014, 29 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram untuk memperoleh wang berjumlah RM42 juta.

“Tertuduh juga didakwa ada mengeluarkan15 cek daripada akaun peribadi miliknya berjumlah RM10,776,514. Kita akan buktikan semua itu melalui keterangan langsung, keterangan mengikut keadaan, pernyataan saksi serta dokumen,” katanya.

Terdahulu, Tommy berkata, pihak pendakwaan akan mengemukakan bukti bahawa Najib terbabit dalam tujuh kes jenayah membabitkan dana SRC International Bhd.

“Perbicaraan ini menunjukkan bahawa tiada mana-mana individu yang boleh melangkaui undang-undang.

“Perbicaraan ini juga akan menjadi peringatan kepada sesiapa yang memegang jawatan tertinggi negara,” katanya.

Prosiding perbicaraan akan bersambung pada 15 April ini hingga 10 Mei depan.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 6:01am
d