utama

Terpaksa naik motosikal ke mahkamah [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

PEMANDU Toyota Vios yang menyebabkan kematian seorang penuntut kolej Moey Yun Peng, 20, dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang 20 Januari lalu membonceng motosikal bersama bapanya ketika hadir bagi sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di Bukit Mertajam, hari ini.

Tertuduh, M K Vaitheswaran, 21, berbaju kemeja biru hadir membonceng motosikal Honda EX5 yang ditunggang bapanya.

Dalam prosiding itu, Majistret Jamaliah Abd Manap menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen bagi kes itu.

Jamaliah menetapkan tarikh itu selepas mendapat permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Afiqah Zakaria ketika sebutan semula kes terbabit, hari ini.

Sebelum ini, kes yang sama disebut pada 18 Mac lalu dan tarikh baru dipohon kepada mahkamah berikutan laporan bedah siasat Moey baru diperoleh dan perlu menunggu arahan pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Peguam tertuduh, S Parameswaran berkata, beliau tiada bantahan berhubung tarikh baru ditetapkan mahkamah dan akan menyerahkan dokumen yang diperlukan.

Berdasarkan kertas pendakwaan, tertuduh yang bekerja sebagai pendandan rambut dituduh tidak mengambil kira keadaan jalan raya hingga menyebabkan kamatian Moey Yun Peng pada jam 3 pagi, 20 Januari 2019 di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Prai.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Dia dibenarkan diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun serta denda tidak lebih RM20,000, selain hilang kelayakan lesen memandu.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 11:56am
d