utama

Tanah kubur tiga dimensi [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

“INI sebenarnya sebahagian dakwah yang cuba saya lakukan, tetapi dengan pendekatan berbeza iaitu menerusi ciptaan diorama,” kata Ahmad Jafri Saiman, 51, yang menghasikan diorama iaitu model tiga dimensi (3D) mengenai suasana di tanah perkuburan dan terdapat jenazah di dalamnya.

Ahmad Jafri yang juga pemilik DRC Toys, kedai menjual alat kawalan jauh dan permainan berkata, model itu dihasilkan bagi memenuhi permintaan pengikutnya di laman sosial yang mahukan ciptaan boleh memberi keinsafan.

Bertitik tolak dari situ, Ahmad Jafri mendapat ilham untuk menghasilkan diorama berkaitan hari kematian.

“Idea menghasilkan diorama ini datang daripada pengikut saya sendiri pada minggu lalu dan ia mengambil masa tiga hari untuk disiapkan pada peringkat permulaan.

“Kini, saya dapat menyiapkannya dalam tempoh dua hingga tiga jam saja bagi setiap unit dengan bantuan seorang pekerja menggunakan bahan seperti gabus, pewarna dan lain-lain lagi.

“Mulanya, saya teragak-agak juga untuk menghasilkannya kerana bimbang disalah erti pihak tertentu namun Alhamdulillah, banyak maklum balas positif diterima daripada pengikut selepas saya memuat naik gambar hasilnya di Facebook (FB),” katanya ketika ditemui di DRC Toys, Bandar Bukit Puchong di sini semalam.

Menurut Ahmad Jafri, sejak gambar hasil ciptaannya itu tular, banyak tempahan diterima tidak hanya daripada individu perseorangan tetapi juga jabatan kerajaan dan institusi masjid.

Katanya, penerimaan baik itu memberi semangat untuknya menghasilkan diorama yang berkualiti demi kepuasan pembeli.

“Bukan saja pengikut malah ciptaan saya ini turut mendapat komen positif daripada golongan agamawan yang berpendapat ia tidak bertentangan dengan hukum Islam sebaliknya boleh menginsafkan selain bermanfaat digunakan untuk pembelajaran.

“Lagipun, ia dihasilkan dalam bentuk 3D jadi dapat dilihat daripada pelbagai sudut bukan saja permukaan tetapi juga bahagian dalam bagi memberi gambaran sebenar mengenai kedudukan jenazah di dalam liang lahad,” katanya.

Ahmad Jafri berkata, diorama itu dijual antara RM140 hingga RM250 dan harganya bergantung kepada saiz yang diinginkan pelanggan.

“Dalam sehari, saya boleh menghasilkan kira-kira empat set diorama dan buat masa ini, pelanggan boleh menempah dalam dua saiz iaitu kecil dan besar.

“Akan datang, saya bercadang menghasilkan set diorama yang lengkap bermula daripada keadaan si mati ketika di hospital, disembahyangkan di masjid sehingga diusung untuk dikebumikan dan berharap ia dapat direalisasikan,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 6:01am
d