utama

'Kira syiling beli makanan'

Oleh Attirmidzie Rahman

KOTA BHARU: Ada pemain terpaksa menggunakan saki baki duit syiling untuk membeli makanan seharian.

Itulah nasib yang dialami pemain skuad Bawah 19 Tahun (B-19) Kelantan atau The Young Warriors (TYW) yang beraksi dalam Piala Belia.

Ia didedahkan pengurus pasukan Azrul Mohd Zawawi yang menyatakan pemain terpaksa ‘mengikat perut’ demi kelangsungan hidup selepas mereka tidak dibayar gaji sejak Februari lalu.

“Setiap hari pemain perlu datang berlatih seperti biasa kerana pasukan perlu beraksi dalam saingan Piala Belia musim ini dan dalam kalangan mereka sudah tidak mempunyai wang untuk menyara diri.

“Mereka (pemain) nak datang ke padang latihan pun perlu mengisi minyak motosikal dan ada segelintir daripada mereka terpaksa membeli makanan menggunakan saki baki syiling.

“Ini situasi menyedihkan bagi pemain bola sepak yang membawa nama negeri dan pasukan dan sebagai pengurus saya mengharapkan KRW dapat menyelesaikan gaji pemain seperti dijanjikan sebelum ini,” katanya.

Krisis dalam urus tadbir pasukan bola sepak Kelantan kembali panas apabila syarikat swasta, Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd yang mengurus pasukan didakwa belum menyelesaikan pembayaran gaji pemain termasuk pemain TYW.

Azrul berkata, semua pemain ketika ini masih menunggu gaji yang belum dibayar sejak Februari dan Mac oleh syarikat itu.

Menurutnya, pihak pengurusan KRW sebelum ini ada memberi tarikh pembayaran gaji, namun ia sekadar janji manis sahaja.

“Merujuk kepada memo yang diberikan KRW untuk pembayaran gaji, tarikh diberikan adalah 30 Mac untuk membayar gaji Februari, tarikh kedua pada 15 April untuk membayar gaji Mac manakala gaji April akan dibayar sebelum tujuh hari bulan seperti termaktub dalam kontrak pemain.

“Bagaimanapun, hingga kini gaji untuk Februari dan Mac masih belum dibayar.

“Kini KRW pula dikatakan sudah menarik diri daripada mengurus pasukan tanpa alasan kukuh dan ia satu berita menyedihkan bagi semua pemain,” katanya semalam.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 6:01am
d