utama

Tiga legenda bersatu

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Ameng Spring, Nizam Laksamana dan Bagio Damasutra pernah popular ketika era kegemilangan muzik rock pada 1990-an.

Mereka juga sudah lama kenal rapat dan sering berkongsi pentas di seluruh tanah air.

Bagaimanapun, selepas dua dekad berlalu, baru mereka berpeluang menghasilkan single berjudul Namamu Di Hati.

Ia adalah garapan segar penyanyi dan komposer Asfan Shah yang sering menghasilkan karya menarik.

Ameng sebagai pembiaya berkata, mereka kerap bertemu di pelbagai majlis dan mencetuskan idea buatnya menerbitkan lagu ini.

“Kami selalu berjumpa dalam pelbagai acara tapi hanya buang masa dengan berbual kosong.

“Jadi, saya sarankan supaya mereka terbabit dalam single ini dan apabila bertemu, kami ada projek yang mendatangkan hasil.

“Nizam dan Bagio tanpa banyak soal bersetuju dan bermulalah projek ini. Modal dikeluarkan tidak banyak kerana mereka boleh bertolak ansur.

“Awalnya kami pilih banyak lagu. Namun, saya terfikir mungkin trend sekarang lebih berpihak pada komposer baharu.

“Kami pun tak pernah menyanyikan lagu ciptaan komposer baharu dan akhirnya sepakat memilih Asfan,” katanya.

Jelas Ameng, lagu yang liriknya ditulis Ahmad Fedtri Yahya itu sangat menarik kerana menampilkan maksud mendalam.

“Asfan mencadangkan dua lagu untuk dipilih dan saya sukakan lagu ini kerana ia sudah ada lirik.

“Selain itu, ia sesuai dengan trio kami dan saya nampak bahagian mana sesuai dinyanyikan Nizam serta Bagio.

“Saya pernah berjumpa dengan Fedtri dalam satu forum sebelum ini. Ketika itu saya bercerita pengalaman saya dalam tahanan dan secara tidak langsung Fedtri muatkan dalam lirik yang ditulisnya,” kata Ameng.

Seperkara lagi, kata Ameng, lirik Namamu Di Hati menceritakan mengenai al-Quran yang menjadi sahabat sejati setiap insan.

"Liriknya juga bercerita mengenai kembali ke fitrah manusia dan kembali ke jalan asal.

“Namamu Di Hati sebenarnya menjelaskan al-Quran tetap di hati,” katanya yang menganggap penghasilan lagu ini satu kenangan peribadi.

Bagi Nizam, single itu tidak disasarkan kepada mana-mana golongan tetapi sesuai dinikmati sebagai satu bentuk pengajaran.

“Kami buat lagu begini atas faktor usia dan keadaan semasa. Kebetulan kisah Ameng lebih hebat dan sesuai dengan melodi serta liriknya.

“Ia akan jadi satu kenangan, pengajaran dan akan membawa kepada sebuah jawapan. Kita kena kembali ke fitrah.

“Kalau nak cakap lagu ini akan popular atau disukai, hakikatnya ia sukar.

“Namun, kami sudah buat yang terbaik dengan bekerjasama dengan komposer muda berbakat besar. Harap ia dapat diterima ramai,” katanya.

Bagio pula bercerita mengenai pembahagian nyanyian yang berlangsung dalam suasana santai.

“Ia ditentukan menerusi perbincangan di antara Asfan dan Ameng.

“Saya penyanyi bahagian akhir lagu ini. Sebenarnya proses ini berlaku secara spontan kerana projek ini bukan serius sangat.

“Apapun, kami perlu serius dari segi komitmen. Soal bayaran tak difikirkan sangat kerana ia lebih kepada projek mengeratkan ukhuwah.

“Seronoknya apabila bergabung, kami dapat buat satu perkara berfaedah sekali gus kembali bergerak aktif dalam arus perdana.

“Ia juga boleh buka mata orang lain untuk buat perkara sama,” katanya.

Harap kerjasama stesen radio

Meskipun industri seni semakin canggih dengan kewujudan platform digital dan pelbagai medium seperti YouTube, Ameng serta rakan-rakannya tetap mengakui kepentingan radio memutarkan lagu mereka untuk diperdengarkan kepada peminat.

“Setiap kali bertemu peminat, mereka akan tanya berkenaan lagu baharu. Dan, Namamu Di Hati adalah jawapan kepada pertanyaan mereka.

“Bagaimanapun, sistem dahulu dan sekarang amat berbeza di mana zaman dahulu, stesen radio akan memainkan lagu sekerap mungkin sehingga melekat di hati peminat.

“Sekarang berbeza kerana mereka bergantung kepada permintaan peminat.

“Andai kurang sambutan, ia takkan dimainkan dan secara tak langsung akan membunuh lagu tempatan,” kata Ameng.

Ameng mengakui tidak terlalu menaruh harapan Namamu Di Hati dimainkan di radio tetapi meminta agar sistem yang diamalkan diubah.

“Saya masih ada lagu lain yang radio mainkan antaranya Sampai Hati, Bourgenvilla dan banyak lagi.

“Terpulanglah kepada mereka sama ada nak mainkan atau sebaliknya. Saya rasa radio pun perlu ubah sikit sistem mereka kerana apa saya lihat berlaku ketidakadilan.

“Lagu baharu sukar nak dapat pendedahan di radio dan lebih kepada kroni dan orang tertentu. Mana mereka suka, mereka akan mainkan dan begitulah seterusnya,” katanya.

Ameng menegaskan dia sudah menurut kehendak pelbagai pihak apabila memilih lagu komposer baharu serta penulis lirik untuk lagu ini.

“Tiga artis legenda menyanyikan lagu ini dan apa lagi alasan yang nak diberikan? Sekarang hanya tinggal hati budi mereka, tolak ansur, bertimbang rasa dan budi bicara,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 6:01am
d