utama

Elfira kembali dalam digital

Oleh Norhayati Nordin

Tiga bulan melayari kehidupan berumah tangga, sinar bahagia jelas terpancar di raut wajah pelakon Elfira Loy, 25.

Status isteri kepada Muhammad Faris Khairol Anuar nyata berjaya memulihkan luka di hatinya dan kini menikmati hari-hari indah.

Kembali rancak mengatur jadual karier seninya, Elfira berkata, dia sama sekali tidak pernah melupakan dunia lakonan.

“Agak lama juga saya tidak berlakon. Jadi, tahun ini ada perancangan untuk kembali aktif.

“Kecintaan saya terhadap kerjaya ini tidak pernah pudar. Cuma, kesibukan menguruskan banyak perkara menyebabkan aktiviti seni diperlahankan seketika.

“Syukur, saya buat kemunculan semula dengan membintangi siri digital, drama dan telefilem,” katanya.

Menurut Elfira, suami yang memahami minatnya memberi restu dan sokongan.

Berbicara mengenai lakonan terbaharunya, pelakon drama Qalesya itu memberitahu, dia membintangi siri digital berjudul Salam Gang.

“Selain platform digital, Salam Gang juga dihasilkan untuk tayangan Astro Ceria dan telefilem istimewa sempena Aidiladha nanti.

“Nampaknya, dengan satu produk seni yang baru dibintangi itu hasilnya akan disiar untuk dua saluran iaitu digital dan televisyen,” katanya.

Mengulas mengenai watak, Elfira memberitahu dia tidak terlalu memilih dan cukuplah jika ia sesuai dengan statusnya.

“Bukan itu saja, saya juga akan pastikan jadual lakonan tidak bertindih dengan aktiviti lain seperti menguruskan perniagaan.

“Saya juga teliti soal bayaran. Maklumlah, saya berlakon sejak kecil jadi bayaran kenalah setimpal dengan kerja,” katanya.

Berkongsi pengalamannya membintangi Salam Gang, Elfira berkata, dia teruja dapat bekerja dengan pelakon cilik.

“Dalam Salam Gang, saya berlakon dengan kanak-kanak. Ia sangat menyeronokkan dan mengembalikan semula memori lalu.

“Saya bermula sebagai pelakon kanak-kanak. Banyak memori indah dilalui ketika zaman tiu,” katanya.

Hampir 13 tahun membina nama dan populariti dalam karier seni, Elfira sudah membintangi banyak drama termasuk filem.

Antara drama lakonannya selain Qalesya yang menjadi perhatian adalah Tentang Bulan The Series, Roh Natrah, Jangan Ambil Padang Kami, Dalam Hati Ada Taman dan Tanggang Ayu.

Elfira juga pernah meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2011 menerusi Kum Kum: The Series.

Teka-teki soal hamil

Setiap pasangan suami isteri pasti mengimpikan kehadiran zuriat yang akan menjadi pengikat kasih. Elfira dan suami juga tidak terkecuali.

Mengulas desas-desus dirinya yang dikatakan berbadan dua, Elfira menzahirkan ucapan terima kasih atas doa yang dititipkan peminat.

“Sebagai wanita, saya memang ada keinginan itu. Cuma, soal anak adalah rezeki daripada Allah SWT.

“Justeru, saya berterima kasih di atas doa yang dikirimkan itu,” katanya.

Menurut Elfira, sejak awal perkahwinan lagi ramai mendoakan perkara yang baik buat dirinya dan suami.

“Alhamdulillah, ramai sudi mendoakan kebahagiaan saya dan suami. Hanya ucapan terima kasih mampu saya kalungkan buat kalian,” katanya.

Mengulas mengenai perniagaan yang mana dia giat menghasilkan koleksi Aidilfitri, Elfira berkata, tahun ini dia memilih untuk memperlahankan aktiviti.

Ini kerana dia mahu fokus terhadap karier lakonan. Malah, dia menjadi wajah eksklusif sempena lebaran bagi dua jenama busana wanita terkemuka.

“Satunya jenama tudung AlHumaira dan satu lagi masih dalam perbincangan dan akan diumumkan tidak lama lagi,” jelasnya.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 6:30am
d