utama

Konstabel 'Datuk Seri' kesilapan teknikal

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

KESILAPAN teknikal yang berlaku ketika Jabatan Pengurusan Bukit Aman menggunapakai data daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyebabkan seorang konstabel lelaki memperoleh gelaran ‘Datuk Seri Amar Diraja’.

Kejadian yang tular baru-baru ini menyebabkan anggota polis berusia 26 tahun itu dipandang serong masyarakat yang mempertikaikan gelaran yang diperolehnya.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kesilapan teknikal menjadi punca kepada kekeliruan itu dan beliau sendiri sudah memanggil anggota berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.

“Perkara ini berlaku membabitkan Bukit Aman yang menggunakan maklumat nama diambil daripada sistem pangkalan data JPA. Saya sahkan berlaku kesilapan dan masalah teknikal di situ hingga beri kesan kepada anggota saya.

“Saya sudah bertanyakan kepada dia mengenai perkara ini dan dia sudah memberi penjelasan. Saya sudah terangkan kepada Bukit Aman dan Ketua Polis Pahang (Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad),” katanya ketika dihubungi di Lipis, hari ini.

Difahamkan kekeliruan itu timbul ketika anggota polis berkenaan melapor diri untuk menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu, tahun lalu.

Azli berkata, anggotanya yang melapor diri pada Februari lalu mengakui malu dengan penularan maklumat namanya yang mempunyai gelaran ‘Datuk Seri Amar Diraja’.

“Saya harap masyarakat hentikan menularkan perkara ini yang berlaku disebabkan kesilapan teknikal.

“Sebelum ini juga pernah berlaku kesilapan membabitkan perkara yang sama. Saya harap masyarakat tidak mudah percaya,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 12:52pm
d