utama

2 Orang Utan RM368,000

Oleh Badrul Kamal Zakaria

SELUDUP dan mahu jual dua ekor anak Orang Utan pada harga hampir setengah juta ringgit.

Itu nasib malang dua haiwan jinak itu yang cuba diseludup masuk ke negara ini bersama enam ungka dan seekor musang albino menggunakan bot.

Kegiatan itu digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua hasil serbuan di Jeti Nelayan Parit Unas di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 8.05 malam, PPM Wilayah Dua merampas sembilan haiwan itu bernilai kira-kira RM403,000 selain menahan seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Indonesia berusia 23 hingga 40 tahun.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, pihaknya membuat intipan di kawasan jeti nelayan berkenaan susulan maklumat penyeludupan diterima.

“Selepas hampir satu jam menunggu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza berwarna biru dikesan menghampiri jeti nelayan Parit Unas.

“Sebuah bot kelihatan berada di jeti sama sebelum beberapa lelaki dilihat mengangkat beberapa kotak masuk ke dalam MPV berkenaan.

“Pasukan PPM kemudian menyerbu lokasi itu namun pemandu PMV membabitkan lelaki tempatan berusia 28 tahun memecut melarikan diri. Bagaimanapun, kami menahan kenderaan itu selepas mengejarnya kira-kira satu kilometer,” katanya pada sidang media di Pangkalan PPM Wilayah Dua Muar di sini, semalam.

Turut hadir, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Dua Muar, Deputi Superintendan Nordin Osman dan Ketua Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Daerah Muar, Mohd Nafizan Mohd Radzi.

Khiu berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan itu kemudian menemui empat kotak besar diletak di bahagian tempat duduk belakang MPV berkenaan.

“Pemeriksaan menemui dua Orang Utan, seekor musang albino dan enam ekor ungka. Pada masa sama, bot ronda PSC 43 menahan bot yang melakukan pemindahan haiwan dilindungi dan menahan tiga lelaki warga Indonesia.

“Dua Orang Utan dirampas itu dianggarkan bernilai kira-kira RM368,000, seekor musang albino bernilai RM5,000 dan enam ungka berharga RM30,000,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal tidak menolak kemungkinan haiwan daripada spesies yang dilindungi itu dibawa masuk ke negara ini bagi tujuan latihan untuk pameran dan sebagai haiwan peliharaan.

“Semua suspek direman 28 hari bagi membantu siasatan dan semua haiwan diserahkan kepada PERHILITAN untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 69 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes turut disiasat mengikut Sekyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Sekyen 6(1)(c) serta Seksyen 5(2) Akta Imigresen,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 8:00am
d