utama

Nur 'sapu' 6 kategori utama

Oleh Amirul Haswendy Ashari

DRAMA Nur terbitan Radius One Sdn Bhd menepati ramalan peminat apabila menang besar dalam enam kategori utama termasuk Drama Rantaian Terbaik pada Anugerah Drama Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019), kelmarin.

Ia sekali gus mengulangi kejayaan produksi itu yang menang besar ketika Anugerah Skrin 2018 lalu.

Selain Drama Pilihan, Nur turut mengungguli kategori Aktor Pilihan melalui Syafiq Kyle, Antagonis Pilihan (Azhan Rani), Pengarah Pilihan (Shahrulezad Mohameddin), Skrip Pilihan (Shahrulezad Mohameddin) dan Pasangan Pilihan (Syafiq Kyle dan Amyra Rosli).

Pengarahnya, Shahrulezad Mohameddin atau mesra disapa sebagai Ezad, berkata pada awal pihaknya agak ‘segan’ untuk naik ke pentas menerima anugerah.

“Sebaik saja drama Nur diumumkan menang, saya perasan ramai penonton sudah mula beransur pulang sehinggakan kami berasakan, adakah mereka tidak suka kami menang?

“Tapi kami bersangka baik kerana mereka mungkin perlu ke acara lain pula yang kebetulan turut berlangsung pada malam itu,” katanya.

Bercakap mengenai kemenangan, Ezad tanpa berselindung berkata, pasukan produksinya masih rasa terawang-awang walaupun diumumkan menang enam kategori pada malam itu.

“Saya hanya mampu berterima kasih pada masa ini sebab saya dan produser masih rasa macam ‘blurr’ kerana ini pertama kali Radius One masuk bertanding dalam DFKL dan terus menang besar.

“Malah saya sendiri rasa terperanjat dan sedikit kelam-kabut kerana pada awal hanya terfikir menang Drama Pilihan saja tapi tiba-tiba enam kategori. Memang tak sangka!,” katanya yang terpaksa meninggalkan set penggambaran drama Cari Aku di Syurga di Ijok, Kuala Selangor.

Bagaimanapun, katanya, dia memang mengharapkan Azhan Rani yang memegang watak antagonis sebagai Ustaz Hamadi menang kategori Antagonis Pilihan.

Ezad turut mendedahkan kelangsungan Nur 3 pula akan bergantung kepada tahap persembahan Nur 2 yang kini ditayangkan di TV3.

Katanya, kelangsungan itu sama ada terus ke layar lebar atau kekal di televisyen saja.

“Kami tidak pernah mengharapkan apa-apa ketika menghasilkan Nur dan Nur 2, tunggu bagaimana penamat episod 15 Nur 2, baru saya boleh beritahu.

“Ikutkan nak cakap pun ‘segan’ sebab sentimen penonton Malaysia tidak percaya pada sekuel, takut kalau fenomena satu (Nur) digagalkan dalam dua (Nur 2).

“Jadi apa yang saya fikirkan pada masa ini adalah buat kerana Allah SWT,” katanya enggan meletak harapan terlalu tinggi untuk jenama Nur terus dikembangkan.

Cuma apa yang boleh dikongsikan pengarah itu adalah jenama Nur akan dinovelkan dan berkemungkinan difilemkan pada masa depan, itu saja.

Katanya, kemungkinan itu bukan atas desakan pihak tertentu atau syok sendiri, sebaliknya atas permintaan penonton.

Menurutnya, dia memegang prinsip berhenti makan apabila makanan itu menjadi terlalu sedap.

Dia mengambil contoh ketika dalam usaha menghasilkan Nur 2 lalu apabila mempunyai jalan cerita yang padu dan mendapat perkenan produksinya, barulah dia mengambil keputusan meneruskannya.

Apatah lagi apabila timbul cadangan mengadakan sekuel Nur, dia dan Azhan Rani antara yang skeptikal.

“Jadi, apabila penonton berasakan berbaloi untuk tengok maka saya fikir wajar untuk hasilkan sekuelnya.

“Peringkat sekarang adalah, adakah penonton setuju dengan keputusan kami ini? Tapi melihat pada impak melalui episod ketiga Nur 2 tempoh hari, ia berbaloi,” katanya.

Cuma situasi itu bukan penanda aras drama berkenaan mendapat jumlah tontonan tinggi kerana sohor kini (trending) tidak bermakna drama itu berjaya.

Baginya judul Nur 2 jadi sohor kini sekadar buah mulut dalam kalangan warganet untuk ‘membawang’ saja, bukan menonton.

Dia juga sangat berterima kasih kepada semua media kerana menjadi penyebab drama arahannya ini kekal sohor kini sehingga ke hari ini.

Bagi kategori Aktres Pilihan pula menjadi milik, Janna Nick yang memegang watak utama sebagai Humairah menerusi drama Semerah Cinta Humairah.

Ini kemenangan ketiga Janna yang pernah menang kategori sama melalui DFKL2016 melalui drama Kau Aku Kita dan DFKL2018 melalui drama Biar Aku Jadi Penunggu.

“Saya memang tak sangka menang sebab drama Nur jauh lebih mengungguli banyak kategori utama.

“Tambahan pula saya memang minat drama itu (Nur) dan tahu ia naskhah yang hebat, rasa macam tiada peluang langsung!,” katanya.

Janna mengakui hanya bersandarkan pada namanya saja kerana penghargaan penuh adalah terhadap peminatnya yang sentiasa ikhlas memberi tempat kepadanya hingga ke hari ini.

Selain itu, dia juga percaya kejayaannya atas doa ibunya yang sentiasa mendoakan supaya kehidupannya sempurna.

“Kebetulan saya dalam proses penggambaran drama di bawah arahan Shahrulezad berjudul Cari Aku di Syurga untuk slot Ramadan nanti.

“Ini perjalanan untuk saya terus menimba ilmu dengan pelbagai pengarah yang hebat selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, walaupun tewas pada Anugerah Juara Lagu ke-33 lalu, lagu Jatuh Bangun nyanyian Haqiem Rusli dan Aman Ra yang menjadi lagu runut drama Shah & Zam menang kategori Lagu Pilihan.

Kategori Drama Pendek Pilihan dimenangi Orang Kita karya Mohamad Edzuan, kedua Nelayan Siblings (Creative Details Filming) dan ketiga, Butang Hukum karya Ahmad Syukri.

Drama Rantaian Bahasa Cina Pilihan pula jadi milik drama My Sensei Nyonya terbitan Mediacorporation Studio (M) Sdn Bhd.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan iaitu Drama Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulis Skrip Pilihan, Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis Pilihan, Pasangan Pilihan, Drama Rantaian Berbahasa Cina Pilihan, Drama Pendek Pilihan dan Lagu Pilihan.

Mengangkat tema #PositifSelalu, DFKL 2019 diacarakan Awal Ashaari, ditayangkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula jam 9 hingga 11 malam di TV3 dan saluran YouTube TV3 Malaysia.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 6:30am
d