utama

Tidak rasa diri guru

Oleh Ardini Sophia Sina

SETIAP kali nama Wan Hanafi Su disebut, mana-mana pelakon pastinya gementar berganding dengan seniman veteran ini walaupun kehadirannya dalam sesebuah filem atau drama itu sekadar pelakon pembantu.

Tidak ada seorang pun yang mampu menafikan aura kehebatannya sebagai pelakon. Malah, jika bukan kekangan masa, ramai pendatang baharu mahu menimba ilmu dan belajar teknik lakonan daripadanya.

Pada usia 69 tahun, Wan Hanafi bersyukur kerana masih diberikan kesihatan yang baik untuk terus bekerja dalam bidang yang dicintainya itu.

Berganding dengan ramai pelakon daripada pelbagai peringkat umur, dia sedikit pun tidak melihat perbezaan antara mereka.

Katanya, keserasian sangat penting ketika menjayakan sesebuah karya. Oleh itu, dia tidak boleh bersikap pentingkan diri dan menunggu mereka yang lebih muda datang kepadanya dan bertegur sapa.

“Saya sering ditanya, bagaimana bekerja dengan pelakon baharu? Saya kata tidak ada masalah. Saya okey saja bekerja dengan mereka yang setahun dua dalam bidang lakonan. Ada pelakon baharu yang sangat bagus dan ada juga yang bermasalah. Namun, itu hal mereka. Paling penting adalah penggambaran berjalan lancar.

“Bagi saya mudah saja, tidak perlu menunggu mereka untuk datang dan memecahkan ‘batu’ yang menjadi penghalang mencapai keserasian itu. Saya akan pecahkan ‘batu’ sendiri dan datang menegur mereka,” katanya.

Memulakan kerjaya lakonan pada 1978 dengan drama Wira, Wan Hanafi berkata, pada usia ini dia semakin terbuka menerima apa saja watak yang diberikan.

Namun, atas permintaan isterinya, Sunarti Sunarto, peminat tidak akan melihatnya membawakan watak lelaki lembut.

Wan Hanafi berkata, isterinya memberikan syarat itu selepas selesai penggambaran filem Laga lakonannya bersama Marsha Milan pada 2013.

Dia ada bertanyakan apa sebabnya tetapi tidak ada jawapan yang diberikan. Bagaimanapun, dia tahu pasti ada sebab kukuh isterinya memohon supaya dia tidak menerima watak sedemikian.

“Saya pun tidak tahu kenapa dia tidak mahu saya melakonkan watak itu. Bagaimanapun, saya hormati permintaannya itu. Syukur juga setakat ini tidak pernah ada tawaran watak sebegitu yang diberikan.

“Itu adalah satu-satunya watak yang tidak akan saya terima. Yang lain saya okey. Malah, jika masih diberikan adegan ranjang seperti dalam filem Laga sekali pun saya akan pertimbangkan,” katanya.

Walaupun pernah dua kali memenangi trofi pada Anugerah Seri Angkasa dan Anugerah Skrin, Wan Hanafi tidak pernah menganggap dirinya guru walaupun mempunyai niat membuka kelas lakonan secara percuma bagi mereka yang berminat.

Nafi letak harga mahal

Berlakon dalam filem Apprentice terbitan produksi Singapura, wataknya sebagai seorang tukang gantung memberikan pengalaman manis apabila berpeluang berjalan di karpet merah Festival Filem Cannes pada 2016.

Pastinya perkara itu adalah sesuatu yang membanggakan. Bukannya mudah untuk melihat pelakon tanah air berpeluang berada di festival di luar negara.

Namun, menurut Wan Hanafi Su, ada perkara yang mesti dibayar dengan kejayaan itu.

Sekembalinya ke tanah air, ramai berpendapat bayaran yang dikenakannya tinggi selepas filem lakonannya ditayangkan pada pada festival berkenaan.

“Selepas menghadiri tayangan filem itu di Festival Filem Cannes, agak lama juga saya tidak menerima sebarang tawaran berlakon. Ada pihak yang beranggapan saya kenakan harga tinggi sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku.

“Saya kecewa kerana mereka tidak pernah menghubungi saya dan bertanya sendiri mengenai perkara berkenaan. Mereka terus saja membuat andaian,” katanya.

Tiada tawaran berlakon, jual nasi

Wan Hanafi pernah menjual aneka nasi di negeri kelahirannya, Terengganu dan dia didakwa terlalu memilih setiap kali diberikan tawaran.

Namun, hakikatnya ketika itu ialah jadual kerjanya ‘kosong’ tanpa sebarang tawaran berlakon.

Bagaimanapun, dia faham kerana bukannya kerap sesebuah syarikat produksi itu mewujudkan watak untuk pelakon veteran sepertinya.

Sebagai seorang pelakon yang berkaliber, dia antara yang sering disebut-sebut layak dianugerahkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk.

“Datuk ini ada dua kategori. Satu, datuk sebab kita dapat cucu dan satu lagi gelaran yang dianugerahkan. Alhamdulillah, datuk cucu sudah saya dapat manakala untuk anugerah pangkat pula, saya tidak kisah.

“Saya tidak melihat ia sebagai satu perkara penting. Saya lebih suka dipanggil datuk dengan nada ikhlas dan bukannya ada konotasi yang kurang baik. Datuk atau bukan, itu tidak penting pun,” katanya.

Kagum dengan pengarah muda

Turut berlakon dalam filem Bu arahan Jeany Amir, kata Wan Hanafi, dia tidak mempunyai sebarang masalah berlakon di bawah pengarah muda. Malah, dia akan tetap memberikan yang terbaik supaya jalan cerita yang ditonjolkan dapat disampaikan dengan baik.

“Pertama kali bekerja di bawah arahan Jeany. Sebelum ini saya sudah mengenalinya dan nampak lingkungan rakannya. Oleh itu, saya tahu dia bijak dan seorang pengarah yang bagus.

“Saya tidak ada masalah bekerja dengan pengarah muda. Saya selalu akan katakan kepada mereka, dia adalah bos dan saya hanya seorang pelakon yang merealisasikan visual mereka. Gunakan saya sebaik mungkin untuk dapatkan apa yang mereka mahu,” katanya yang menyifatkan Bu sebagai sebuah karya berkualiti.

Selain Wan Hanafi, Bu yang akan ditayangkan mulai Khamis ini turut menampilkan lakonan Nadiya Nisaa, Rashidi Ishak, Dian P Ramlee, Iedil Putra, Mawar Rashid, Remy Ishak dan Nadia Brian.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 6:30am
d