utama

FELDA dapat bantuan RM6.23 bilion

Oleh Hairulazim Mahmud

KERAJAAN bersetuju memberi bantuan kewangan RM6.23 bilion berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan kepada FELDA.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA berkata, suntikan kewangan untuk penstrukturan dan pengukuhan operasi itu termasuk pelaksanaan inisitaif FELDA yang bertekad melahirkan peneroka baru mahir dan inovatif bagi meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pertanian serta ternakan yang menggunakan teknologi baharu seperti perladangan bijak dan pertanian tepat.

“Bagi melaksanakan gagasan baru ini, kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk tempoh 4 tahun,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga meluluskan RM250 juta bagi tahun ini untuk menyelesaikan perumahan generasi kedua FELDA iaitu Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai.

Katanya, kerajaan bertekad untuk menyiapkan 4,794 unit rumah yang tahap kemajuannya 70 peratus dan ke atas.

Berkaitan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil yang dibebankan kepada peneroka, beliau berkata, dianggarkan bantuan sebanyak RM2 bilion diluluskan bagi menghapuskan kadar faedah perkara terbabit.

“Demi meringankan bebanan hutang peneroka, skim pengurusan aset canggih (SPAC) akan diperkenalkan bagi memberi bantuan yang lebih fleksibel menggantikan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil.

“Kerajaan sudah meluluskan sejumlah RM480 juta untuk tujuan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil,” katanya.

Menurutnya cadangan skim baharu itu sedang diteliti secara mendalam termasuk libat urus dengan peneroka-peneroka.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 1:43pm
d