utama

'Saya tak pernah nampak ibu hisap dadah'

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KANAK-KANAK lelaki terpaksa tinggal bersendirian sejak dua minggu lalu selepas ibu kandungnya dipercayai ditahan pihak berkuasa susulan masalah penyalahgunaan dadah.

Lebih mengejutkan apabila kanak-kanak yang sudah tidak bersekolah sejak Oktober lalu itu tinggal dalam rumah di Jalan Intan, Kampung Dato’ Ahmad Said, Manjoi di Ipoh yang penuh dengan longgokan pakaian terpakai, sampah sarap, selain kotor serta tiada bekalan elektrik dan air.

Ditinggalkan sendirian selama dua minggu, kanak-kanak berusia 12 tahun ini, terpaksa berdikari untuk meneruskan kehidupan harian dengan menumpang rumah rakannya di Kampung Sungai Tapah, di sini selama seminggu.

Malangnya, anak tunggal itu terpaksa tinggal semula di rumahnya susulan keluarga rakannya pulang ke kampung.

“Sepanjang tempoh seminggu lalu, saya menumpang mandi di stesen-stesen minyak dan tandas awam manakala makanan disediakan bapa saudara yang tinggal di Chemor.

“Rumah yang disewa ibu juga sudah dua tahun tiada bekalan air dan elektrik, malah sewa rumah juga tidak berbayar membuatkan tuan rumah tidak ambil peduli mengenai rumah papan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Kanak-kanak itu berkata, ibu dan bapa tirinya sudah bercerai yang mana kali terakhir dia melihat bapa tiri ketika berusia tujuh tahun, manakala bapa kandung pula tidak pernah dikenalinya.

“Saya tidak tahu ibu saya di mana, namun rakan ibu mengatakan ibu saya kini ditahan di penjara Tapah.

“Hidup kami memang susah sebelum ini. Ibu mengambil upah membersihkan rumah orang dan kami memang menumpang mandi di mana-mana sahaja.

“Orang kata ibu saya hisap dadah, tapi saya tak pernah lihat dia ambil dadah depan saya,” katanya yang mengakui merindui ibunya yang berusia 42 tahun itu.

Kanak-kanak malang itu, akhirnya diselamatkan ahli persatuan badan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat panggilan telefon daripada kanak-kanak itu sendiri kelmarin.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 11:29am
d