utama

Tunai impian nenek

Oleh Norhayati Nordin

LAHIR dalam keluarga seni menjadi pemangkin semangat buat bakat baru dari Brunei Darussalam, Syafiq Abdilah menceburi bidang nyanyian.

Selain minat mendalam, Syafiq, 19, juga secara tidak langsung merealisasikan impian arwah neneknya yang mahu dia menjadi penyanyi.

Tampil dengan single pertama berjudul Sakit ciptaan Candy Rose, remaja berbakat besar ini nekad mencuba nasib.

Bercerita mengenai pembabitan awalnya dalam nyanyian, Syafiq berkata, dia mula aktif menyanyi di Brunei sejak empat tahun lalu.

“Karier nyanyian saya mula diketengahkan secara serius sekitar 2015 lalu. Peluang datang tanpa diduga dan saya mencuba.

“Sejak itu, bakat nyanyian saya mula menjadi perhatian dengan mendapat tawaran persembahan.

“Ia ternyata rezeki buat saya. Tawaran persembahan diperoleh bukan hanya majlis korporat tetapi peluang menghiburkan keluarga Diraja Brunei. Ia pengalaman sangat berharga buat saya selaku penyanyi baru,” katanya.

Lebih terarah kepada genre jazz, Syafiq berkata, dia menjadikan kejayaan penghibur diminatinya seperti Bruno Mars, Ed Sheeran, Afgan dan Tulus sebagai inspirasi.

“Saya berharap semoga suatu hari nanti akan meraih kejayaan dan lagu diterima baik pendengar,” katanya.

Syafiq juga berharap dapat melancarkan banyak lagu yang sedap didengar dan membuatkan orang terhibur.

Berbicara mengenai single Sakit, Syafiq berkata, lagu itu mempunyai jalan cerita tersendiri dan cukup dekat dengan jiwanya.

“Seperti dikatakan, saya sangat berharap semoga Sakit diterima pendengar, sekali gus turut mesra radio. Saya sudah berusaha dengan gigih selama lebih setahun untuk menyiapkan

projek penerbitan lagu ini.

“Diharapkan Sakit akan mendapat sokongan padu daripada pendengar di semua platform digital yang dimuat naik,” katanya.

Ditanya nama Abdilah yang digunakan ada kaitan dengan Datuk Jamal Abdillah, Syafiq tidak menafikannya.

Kata Syafiq, arwah neneknya adalah peminat Jamal dan nama Abdilah digunakannya itu

sebagai inspirasi dan diabadikan buat nenek tersayang.

“Syukur Alhamdulillah, saya kini dapat merealisasikan impian arwah nenek. Terima kasih kepada keluarga yang sentiasa menyokong,” katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 5:30am
d