utama

RM1 pun besar maknanya... [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

“WALAUPUN seringgit ia sangat berharga dan besar maknanya buat kami untuk melihat Zulaikha terus hidup,” kata Haffiszattul Nur Akmar Samsudin, 30, ibu kepada bayi berusia 15 bulan yang menderita Hemophagocytic Lymphohistiocytosis (HLH).

Menurut Haffiszattul, sejak kisah penderitaan anaknya, Sheikha Zulaikha dipaparkan akhbar ini semalam, mereka menerima sumbangan tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia.

“Biarpun tiada pertalian darah dengan kami, namun mereka tetap sudi menyumbang untuk Zulaikha walau hanya seringgit.

“Sejak semalam juga, kami menerima banyak panggilan dan WhatsApp yang bertanya khabar dan keperluan Zulaikha.

“Terima kasih, kami amat terhutang budi...semoga Allah merahmati jasa kamu semua,” katanya.

Semalam, akhbar ini menyiarkan kisah bayi ini yang menghidap penyakit HLH atau sistem imun tidak stabil dan terlebih aktif hingga menyebabkan hati dan limpanya membengkak 10 sentimeter.

Doktor memaklumkan jangka hayat bayi ini cuma sebulan sebelum mencadangkan alternatif pemindahan sumsum tulang bagi menyelamatkan nyawanya selepas rawatan kemoterapi tidak berhasil.

Haffiszattul berkata, setakat semalam sumbangan diterima melebihi bayaran pendahuluan RM26,000 yang perlu dijelaskan dalam masa terdekat sebelum pemindahan sumsum tulang dijadualkan, 2 Mei ini.

“Memang sasaran kutipan masih jauh lagi, tetapi alhamdulillah satu percubaan baik apabila kami sudah dapat menjelaskan bayaran pendahuluan yang diminta pihak hospital.

“Dulu kami buntu tidak tahu bagaimana hendak dapatkan kos rawatan RM150,000 dalam masa terdekat, kini sudah semakin nampak jalan.

“Berkat sumbangan dan doa semua, insya-Allah semoga cerah peluang untuk Zulaikha hidup macam kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 156226300886 atas nama Haffiszattul Nur Akmar.

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 6:10am
d