utama

Emma majukan diri

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KEPUTUSAN pelakon Emma Maembong membuka tudung dua bulan lalu mengejutkan banyak pihak hingga mencetuskan perbalahan terutama dalam kalangan peminat.

Pelbagai komen dilemparkan termasuk ramai beranggapan kerjaya Emma, 27, atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail akan berkubur.

Bagaimanapun, Emma mengakui kontroversi yang melanda tidak mengganggu dan menjejaskan kerjaya lakonannya.

“Alhamdulillah, buat masa sekarang rezeki tidak putus. Tawaran kerja tetap ada. Kadangkala orang terlalu berfikir. Nampak jahat kita, terus buat penilaian dan jatuhkan hukum. Ibaratnya lepas buat silap, nak hukum dan terus terduduk. Dia tak suka nampak kita bangun balik.

“Bagi saya, semua orang buat silap. Jadi, takkan apabila kita buat silap, kita nak hidup dalam suasana sebegitu saja buat selama-lamanya?

“Apabila buat salah, kita kena sesal dan belajar majukan diri. Jadi, apabila saya berada dalam situasi ini, takkan saya nak kecewa dan menangis saja. Mestilah saya nak ke depan. Saya nak juga teruskan hidup sebab ada banyak komitmen terhadap keluarga. Jadi, saya hanya buat tidak tahu apa kata netizen,” katanya.

Bukan itu saja, Emma yang kini menjalani penggambaran telefilem Silang terbitan JS Pictures Sdn Bhd berkata, perniagaan tudung yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu masih berjalan baik.

Emma berkata, perniagaan diusahakan tidak ada kaitan dengan kontroversi melanda dirinya.

“Perniagaan tudung ada lagi dan masih berjalan. Kalau ada koleksi baharu, saya tetap jadi model. Bagi saya, perniagaan ini tidak ada kena-mengena dengan kisah peribadi dan kontroversi.

“Macam Nora Danish, dia pun tidak pakai tudung tetapi jual tudung. Saya tidak mahu campur adukkan hal peribadi dengan kerjaya. Saya juga tidak suka orang kaitkan dua perkara ini sebab ia tidak ada kena-mengena.

“Lagi pun, saya usahakan perniagaan ini sebelum bertudung,” katanya.

Pada masa sama, Emma berharap peminat terus mendoakan dia menjadi lebih baik dan tidak terus mengecam.

“Buat peminat, kalau mengharapkan saya menjadi lebih baik, tolong doakan yang baik-baik saja. Saya pun tidak mahu terus dikecam.

“Manusia tidak terlepas melakukan kesilapan. Kalau memang silap saya, saya minta maaf. Saya cuba untuk menjadi yang lebih baik,” katanya.

PENGALAMAN INDAH UMRAH SULUNG

Sempena ulang tahun kelahirannya pada 27 Mac lalu, Emma bersama bapa tersayang, Ismail Embong dan adik-beradiknya menunaikan umrah.

Kata Emma, ia pengalaman sungguh indah dan tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila.

“Ini umrah pertama saya. Memang gembira. Ramai kata nak pergi umrah tapi belum bersedia dan takut. Apabila pergi ketika masih muda dan sudah dapat panggilan, pergilah. Jangan tunggu tua, baru nak pergi.

“Sebenarnya, sejak empat tahun lalu lagi saya memang nak pergi. Namun, ada saja halangan. Pada masa sama, ketika itu memang sudah bersedia termasuk wang ringgit.

“Kali ini, dalam pada tidak ada duit, tiba-tiba saja kakak saya cakap boleh pergi. Semua sudah selesai. Saya terkejut. Bagi saya, ini panggilan daripada Allah. Maka, saya usaha cari duit,” katanya.

Menurut Emma, di sana dia lebih banyak berdoa, beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah.

“Kadangkala, apabila kita sedih, kita nak cari jawapan. Di situlah tempat kita mengadu. Apabila dapat ke rumah Allah, memang teruja. Menangis tak henti-henti. Macam-macam saya mengadu.

“Allah itu Maha Pengampun. Jadi, kalau rasa nak pergi, pergi saja. Tidak ada perkara nak takutkan pun. Memang kita takut sebab banyak dosa. Tapi lebih baik pergi minta ampun sendiri di sana. Dapat rezeki lebih, pergi saja.

“Saya banyak berdoa terutama untuk keluarga dan orang yang saya rapat,” katanya.

Mengenai pembabitannya dalam Silang, Emma mengakui mahu mencabar diri dengan berlakon bawah arahan Jinggo dan Sheila Rusly.

“Saya terima tawaran ini kerana pengarahnya dan Kak Sheila Rusly. Bekerja dengan mereka dapat pertingkatkan mutu lakonan saya. Kalau berlakon dengan pengarah yang hanya cakap okey saja, sampai bila-bila takkan maju.

“Jadi, saya nak majukan diri dalam lakonan. Daripada masuk kelas lakonan, lebih baik saya sahut cabaran berlakon dengan Kak Sheila. Watak saya pun lain daripada lain. Kak Sheila mahu saya tegas, ubah intonasi dan tidak mahu seperti kebiasaan lakonan saya.

“Boleh dikatakan setiap masa dia tegur untuk ubah. Perkara itu buatkan saya gembira. Dia memang tak nak nampak Emma Maembong dalam watak ini. Memang susah sebenarnya nak keluarkan diri sendiri dan jadi orang lain.

“Pendek kata, menerusi projek ini, saya keluar zon selesa. Di luar Kak Sheila dan suami manjakan saya tetapi dalam set, mereka tegas serta minta saya fahami skrip. Kalau tak boleh tahan, memang akan menangis. Sebenarnya, apa yang mereka cakap itu masuk akal,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 5:31am
d