utama

'Mereka sangat melampau, cabar tugas polis'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

“KAMI sangat kecewa dengan perbuatan itu seolah-olah mereka lebih berkuasa daripada polis,” kata Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berhubung tindakan lima penyokong sebuah parti yang memeriksa kereta peronda polis (MPV) di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Chung Hua, Rantau semalam.

Beliau berkata, insiden pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu pertama kali berlaku dalam negara apabila orang awam memeriksa kenderaan polis.

“Mereka sangat melampau, mencabar tugas kami dan memalukan. Tuduhan kami membawa lebihan kertas undi tidak betul kerana polis sangat profesional,” katanya.

Dalam kejadian 6 petang itu katanya, dua anggota MPV mengikuti sebuah kenderaan lain bagi membawa kertas undi ke pusat penjumlahan di sekolah terbabit.

Menurutnya, MPV itu tidak memasuki sekolah sebaliknya berhenti di luar pagar bagi mengawal keadaan lalu-lintas dan keselamatan.

“Datang lima lelaki mendakwa anggota kami membawa lebihan kertas undi. Apa hak mereka untuk memeriksa MPV polis kerana mereka orang awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Asisten Superintendan Ahmad Jamaluddin.

Menurutnya, dua anggotanya sepatutnya tidak membenarkan pemeriksaan namun bagi mengelak berlaku kekecohan mereka membenarkan.

“Apabila dibuka bonet kereta, hanya peti ubat dan keselamatan yang ada. Kami harap tindakan itu memuaskan hati mereka,” katanya.

Beliau berkata, anggotanya terpaksa berbuat demikian bagi mengelak kejadian kereta polis diterbalikkan seperti berlaku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum ini.

“Saya tegaskan polis hanya mengiringi kenderaan lain, bukan bawa lebihan kertas undi. Polis juga tidak dapat melakukan tangkapan kerana jumlah penyokong mereka begitu ramai,” katanya.

Mohamad berkata, laporan polis sudah dibuat anggotanya hari ini dan lima lelaki berusia 30 hingga 50 tahun sedang diburu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Mereka sudah dikenal pasti dan akan ditangkap. Walaupun lima lelaki itu ahli parti daripada kerajaan memerintah, undang-undang tetap dilaksanakan,” katanya.

Katanya, polis sangat profesional biarpun banyak tuduhan dilemparkan termasuk dikatakan bersubahat.

“Polis ikut undang-undang, kawal keselamatan dan raikan demokrasi bersih. Lihatlah PRK ini, jumlah pengundian tertinggi iaitu 79.3 peratus berbanding enam PRK yang lain,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 2:04pm
d