utama

Yaashwin memang hebat!

Oleh Georgie Joseph

(Yang membuat liputan keputusan Asia’s Got Talent musim ketiga di Marina Bay Sands, Singapura, baru-baru ini.)

Walaupun dua peserta negara iaitu Yaashwin Sarawanan, 15, dan kumpulan NAMA gagal bergelar juara di pentas akhir Asia’s Got Talent musim ketiga (AGT3), kejayaan Yaashwin atau popular dengan gelaran Manusia Kalkulator muncul naib juara adalah pencapaian yang cukup membanggakan.

Kejayaan mereka layak ke pentas akhir juga adalah yang paling tinggi buat peserta negara sepanjang tiga musim program realiti popular dunia itu.

Kehebatan mereka juga menjadi bualan di seluruh Asia bahkan menjadi peserta kegemaran rakyat luar negara.

Tiga juri AGT3 iaitu maestro muzik David Foster, Anggun, dan Jay Park mengakui Yaashwin dan NAMA antara finalis terbaik musim ini.

Mereka juga tidak kisah siapa yang muncul juara memandangkan semua finalis layak dan hebat belaka.

Jay berkata, di matanya semua finalis adalah juara berdasarkan persembahan pada peringkat akhir.

“Anda semua sebenarnya adalah juara. Saya cuma mahu anda menikmati saat ini kerana sudah memberikan persembahan yang cukup membanggakan,” katanya.

Tidak dinafikan, AGT3 adalah musim yang paling mengujakan dan terbaik berbanding dua musim terdahulu. Kualiti peserta bertanding semakin meningkat dan kepelbagaian jenis bakat ditonjolkan.

Yaashwin yang muncul peserta pertama Malaysia muncul naib juara berjaya menjadi topik hangat

di dalam dan luar negara yang mempertaruhkan bakat matematiknya.

Sebelum ini tiada siapa menyangka matematik mampu menghiburkan ramai orang.

“Saya tahu bukan semua sukakan kira-kira dan nombor. Disebabkan itulah saya ingin membuktikan bahawa sesetengah orang silap.

“Terbukti, ramai yang mengundi dan menyokong sampai saya ke tahap sekarang. Keputusan saya mengambil risiko besar ini sangat berbaloi dengan pencapaian dalam AGT3,” katanya kepada RAP.

Sementara itu, NAMA yang dianggotai Nur Fazrina Mohd Ani, 28, Noor Syamimi Makhetar, 24, Norfazira Malik, 24, dan Nur Farahida Dolhadi, 24, pula menyifatkan banyak perkara yang mereka belajar selepas menyertai AGT3.

Bukan sekadar datang bertanding, malah mereka tidak sangka rakyat Malaysia sebenarnya begitu prihatin dan menyokong perjuangan mereka.

“Kami datang tanpa harapan apa-apa dan sekadar mencuba nasib. Sebaliknya, kami berjaya pula mara ke peringkat demi peringkat sehingga menjadi finalis.

“Perkara paling besar kami belajar adalah untuk keluar dari zon selesa dan mencari formula terbaik menjadikan persembahan terbaik. Apalagi awalnya David sendiri tidak yakin dan tidak berkenan dengan kami.

“Syukur, sepanjang penyertaan di AGT3, kami mendapat sokongan yang tidak putus dari-

pada rakyat Malaysia. Setiap komen dan teguran menjadikan kami lebih menghargai peluang yang diberikan ini,” kata Fazrina.

Sementara itu, peserta Taiwan iaitu Eric Chien yang dinobatkan juara berkata, kemenangan itu satu permulaan untuknya menjadi ahli silap mata terbaik.

Dia yang mula serius bermain silap mata sejak 10 tahun lalu menganggap platform AGT3 peluang terindah.

“Dengan kemenangan ini, saya ingin merealisasikan impian tertunggak untuk membawa permainan silap mata saya pergi lebih jauh. Saya mahu gunakan wang kemenangan ini untuk menubuhkan pasukan yang lebih besar.

“Selama ini, hanya ada beberapa pembantu yang terbabit dalam sebarang persembahan saya. Untuk membawa karier ke tahap lebih tinggi, saya perlukan ramai orang dalam pasukan untuk mengendalikan setiap aspek.

“Semestinya, AGT3 benar-benar mengubah hidup saya. Jika dulu saya seorang yang sangat pemalu berada di pentas, kini tidak lagi disebabkan program itu berjaya meningkatkan

lagi keyakinan diri,” katanya.

Selain Yasshwin, NAMA dan Eric, turut bertanding di pentas akhir pada minggu lalu adalah Power Duo dari Filipina, Maniac Family (Taiwan), Junior Good Vibes (Filipina), Siti Saniyah (Indonesia), Shadow Ace (Filipina) dan Yang Shih Hao (Taiwan).

Dengan kemenangan itu, Eric membawa pulang wang tunai berjumlah RM408,000 serta penerbangan percuma selama setahun tajaan syarikat penerbangan VietJet.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 6:00am
d