utama

Nyalakan suntik semangat baru

Oleh Norhayati Nordin

JIKA diukur pada jarak kembara seni penyanyi Mimifly, 33, dan rakan hip hop barunya, Benzooloo, 26, hanya dua tahun membezakan mereka.

Mimifly sudah 11 tahun bergiat aktif dalam bidang muzik manakala Benzooloo pula mencecah sembilan tahun kerana bergerak secara underground.

Namun, kerjasama menghasilkan lagu baru berjudul Nyalakan akhirnya menggabungkan Mimifly dan Benzooloo untuk berkarya bersama.

Bersua dengan mereka pada sesi fotografi diatur, nyata kedua-duanya begitu teruja dengan lagu Nyalakan itu yang memfokuskan pada motivasi dan semangat mengharungi kehidupan.

Berbicara mengenai kehidupan, Mimifly atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham memberitahu, bukan mudah untuk dia terus bertahan dalam kerjaya seni ini hingga berada pada tahap sekarang.

“Apa yang boleh dikata, tidak ada jalan mudah untuk menjadi anak seni yang mampu bertahan dalam mengharungi liku perjuangan karier ini.

“Untuk saya, tak dinafikan pernah juga berada dalam situasi kecewa dan penat kerana tidak memperoleh apa yang diinginkan. Namun, satu hakikat yang menyedarkan saya bahawa jangan mengeluh, tetapi terus berusaha. Ini jalan hidup yang saya pilih dan mana mungkin mampu berpatah balik ke haluan karier lain,” katanya.

Menurut Mimifly, kerjasama dengan Benzooloo menghasilkan lirik lagu Nyalakan cukup membuatkan dia bersemangat, teruja dan sangat berpuas hati.

“Walaupun sudah biasa menghasilkan karya lagu sendiri, kepuasannya sangat berbeza dengan lagu Nyalakan. Ia kerana, lirik dihasilkan sangat teliti.

“Lagu ini bagaikan membawa semangat lain buat saya kerana lebih dulu tenang dan berfikir sebelum berbicara. Saya berasakan diri sangat matang untuk lagu ini.

“Kalau dulu, saya tidak kisah berkongsi apa saja mengenai karier dan peribadi. Tetapi, sekarang saya tenangkan diri dan berfikir sebelum memberi jawapan,” katanya.

Mimifly yang pernah bergerak dengan kumpulan One Nation Emcees pada 2011 berkata, dia semakin jelas dengan hala tuju arah dalam karier seninya.

Katanya, bersikap positif sangat penting dalam kehidupan. Ia membuatkan apa saja kata -kata kurang enak masyarakat mampu ditepis dengan rasional tanpa mengikut perasaan.

“Terus terang, saya tidak terasa hati langsung apabila ada yang melabelkan saya penyanyi sendu. Bagi saya, biarlah nampak sendu, tetapi realitinya karier nyanyian saya masih bernafas hingga ke hari ini.

“Saya masih lagi mendapat tawaran menyanyi termasuk peluang menghasilkan lagu baru seperti Nyalakan dan tahun lalu juga saya muncul dengan karya Superfly,” katanya.

Gembira dengan sokongan diterima untuk lagu Nyalakan, Mimifly berterima kasih kepada mereka yang sudah mendengar lagu itu di YouTube dan lirik video rasmi sudah mencecah lebih 379,000 selepas seminggu dimuat naik.

Benzooloo makin serius

Pelbagai pengalaman ditimba ketika bergerak secara underground membuatkan Benzooloo makin serius mengatur langkah untuk karier muziknya di arena arus perdana.

Katanya, walaupun masih baru dalam kancah muzik arus perdana tetapi dia tidak gusar untuk bersaing, apatah lagi kental mencuba nasib.

“Saya sentiasa yakin dan percaya, rezeki Tuhan itu akan datang apabila sampai waktunya. Umpama, penghasilan lagu Nyalakan juga.

“Selepas mendapat melodi lagu Nyalakan daripada penyanyi yang juga komposer terkenal, Malique Ibrahim dan rakannya, Tripdisz, saya diberi peluang untuk tulis lirik.

“Menulis lirik bersama Malique sangat teliti kerana dia begitu utamakan kesempurnaan dalam lagu. Untuk bahagian korus saja, saya ambil masa selama tiga bulan menyiapkannya.

“Itu belum lagi bahagian verse yang memerlukan liriknya ditukar beberapa kali. Apapun, sama perasaannya seperti Mimifly, saya puas dengan hasil lagu Nyalakan,” katanya.

Benzooloo sebelum ini dikenali dengan lagu hip hop berjudul Terkemuka yang menggandingkan dirinya bersama Zizi Kirana dan Sandra Dianne.

Menerusi lagu Terkemuka itu, muzik videonya di YouTube sudah mencecah 7.2 juta tontonan sejak 10 bulan dimuat naik yang penerimaannya sangat positif daripada pendengar muzik masa kini.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 6:30am
d