utama

Jentera bomba cap ayam [METROTV]

Oleh Skuad Khas Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kegagalan pembekal menyediakan reka bentuk dan pemasangan peralatan mengikut spesifikasi sepatutnya dipercayai punca utama jentera pemadam kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dibeli pada 2007, 2010 dan 2014 ‘tersadai’.

Untuk rekod, perolehan 242 jentera JBPM atau Fire Rescue Tender (FRT) bagi ketiga-tiga tahun itu membabitkan nilai RM420 juta.

Malangnya, hampir 40 peratus atau 97 jentera JBPM bernilai RM165 juta di seluruh negara terutama Selangor kini mengalami kerosakan pada putaran rotor di bahagian batang pemanduan (drive shaft) dan sistem sadap kuasa atau power take off (PTO) menyebabkan jentera gagal berfungsi.

Menurut sumber, sejak 2007, sebuah syarikat pembekal tempatan diberi kontrak rundingan terus untuk membekalkan jentera berkenaan kepada JBPM.

“Pada 2007, 42 jentera setiap satu bernilai RM1.86 juta atau keseluruhannya lebih RM78 juta dibekalkan syarikat terbabit yang berpangkalan di Selangor.

“Syarikat sama turut diberi hak membekalkan 100 jentera yang setiap satunya bernilai RM1.71 juta pada 2010 dan 100 lagi jentera pada harga sama bagi 2014.

“Keseluruhannya, syarikat itu sudah membekalkan 242 jentera bernilai lebih RM420 juta kepada agensi berkenaan.

“Malangnya, sejak tiga tahun lalu jentera yang dibekalkan mula mengalami kerosakan utama pada drive shaft dan PTO menyebabkan jentera itu tersadai.

“Berdasarkan maklumat, pembekal gagal menyediakan reka bentuk, peralatan dan pemasangan drive shaft ataupun PTO yang betul sehingga masalah ini berlaku,” katanya.

Sumber berkata, syarikat pembekal itu juga dikaitkan langsung dengan seorang tokoh politik negara yang kini berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sebelum 2007, semua proses pembelian jentera JBPM diuruskan melalui tender terbuka. Jadi, jentera yang dibeli sememangnya pada kondisi terbaik.

“Namun bermula 2007, disebabkan campur tangan ahli politik terbabit yang dibantu kepemimpinan di kementerian menganugerahkan (kontrak pembekalan) kepada syarikat terbabit. Natijahnya, jentera dibeli harga mahal tapi kerap rosak.

“Ada sesuatu tidak kena. Adakah pembekal berkenaan meletakkan peralatan tidak sepatutnya pada jentera itu? Kini banyak jentera tersadai disebabkan masalah sama dan bakinya pasti akan rosak,” katanya menjelaskan jangka hayat jentera itu antara 15 hingga 20 tahun.

Menjawab soalan wartawan, sumber mendedahkan, harga jentera asas dalam kondisi terbaik adalah kira-kira RM1.5 juta.

“Dengan harga jentera yang semahal itu (perolehan) bagi ketiga-tiga tahun sepatutnya kondisi jentera dalam keadaan baik bersama peralatan yang berkualiti tinggi,” katanya menjelaskan, selain masalah pada drive shaft dan PTO, bahagian elektronik jentera itu juga bermasalah.

Katanya, siren, lampu dan lain-lain berkaitan elektronik juga bermasalah, namun kerosakannya bukanlah isu utama berbanding drive shaft dan PTO.

Tambahnya, jentera yang tersadai kini sedang ‘berehat’ di bengkel kejuruteraan JBPM di seluruh negara namun kebanyakan jentera berkenaan boleh dilihat di Selangor iaitu di Seksyen 15 Shah Alam, Serdang dan Salak Tinggi bagi kawasan Lembah Klang.

“Kenapa saya gunakan istilah berehat? Kebanyakan jentera yang alami kerosakan pada drive shaft tidak mampu diperbaiki kerana kementerian juga memotong bajet penyelenggaraan. Jadi, jentera itu akan terus tersadai,” katanya.

Untuk rekod, wartawan bersama juruvideo turut mengunjungi ketiga-tiga bengkel kejuruteraan berkenaan bagi memastikan dakwaan itu. Berdasarkan pemerhatian, memang jelas puluhan jentera mengalami kerosakan seperti didakwa sumber di ketiga-tiga premis terbabit.

Harian Metro difahamkan, terdapat kira-kira 550 hingga 600 jentera di seluruh negara.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 10:28am
d