utama

Lisa pilih watak

Oleh Ramlah Zainal

SELEPAS berumah tangga dan dikurniakan dua cahaya mata, pelakon popular, Lisa Surihani seperti memperlahankan aktiviti seninya.

Namun, hakikatnya, Lisa, 32, yang sudah sedekad dalam bidang lakonan kini sangat memilih dengan setiap watak yang ditawarkan kepadanya.

“Sebenarnya saya masih menantikan skrip drama atau filem yang memuaskan hati saya. Memang banyak tawaran yang datang, tetapi watak, skripnya sama serta jalan cerita yang saya pernah buat sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sidang medianya sebagai duta Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia untuk berkongsi lawatan ke kem pelarian Rohingya di pejabat Unicef di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selepas drama bersiri Jibril, Lisa terbabit dengan penggambaran telefilem komedi Geng arahan Umi Salwana bergandingan dengan Nadia Nissa dan Sherry Al Hadad.

“Saya terima tawaran berlakon dalam telefilem itu kerana memang mahu berlakon dengan Sherry dan Nadia. Begitu juga drama Jibril, jalan ceritanya sangat berbeza dan ada kelainan,” katanya.

Lisa berkata, selepas mengandung anak sulung, dia masih memenuhi undangan berlakon antaranya drama Shahadah Yang Hilang.

Selain itu, dia juga berlakon dalam telefilem Kontena Ana arahan Bernard Chauly dan memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2018 di Singapura menerusi telefilem itu.

MENOLAK BERGANDING DENGAN YUSRY

Walaupun sama-sama terbabit dalam bidang seni, Lisa akan menolak jika ada tawaran berlakon menggandingkannya dengan suami yang juga pelakon dan pengarah terkenal Yusry Abd Halim, 45.

Lisa berkata, bukan dia saja, tetapi Yusry juga akan melakukan perkara sama jika mendapat tawaran sedemikian.

“Kami tidak mahu orang keliru dengan lakonan dan realiti hidup kami sebagai suami isteri,” katanya.

Ditanya pengalaman berganding dengan Yusry dalam drama bersiri Alamatnya Cinta terbitan Global Station sebelum ini pula, kata Lisa, dia hanya melakonkan watak ‘cameo’ dalam cerita itu.

“Saya terima kerana ia watak kecil dan hanya terbabit sehari saja penggambaran. Manakala, Yusry pula memegang salah satu watak penting dalam cerita itu.

“Sebenarnya saya malu dan gementar ketika berlakon dengan suami sendiri terutama jika ada babak bertentang mata dengannya. Sebab itu saya memang mengelak jika ditawarkan watak dalam cerita cinta dengannya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, rumah tangga Lisa dan Yusry kini bahagia dengan kehadiran dua cahaya mata.

“Alhamdulillah, dua anak kami semakin besar dan jika ada rezeki pasti kami mahu tambah anak dan melengkapkan kebahagiaan sedia ada,” katanya.

Lisa dan Yusry berkahwin pada 23 Februari 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Yahaira Leanne dan Yusof Leonne.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 6:00am
d