utama

Dapat balik RM3.1 bilion

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

PUTRAJAYA: Malaysia akan mendapat semula wang pendahuluan sebanyak RM3.1 bilion iaitu bayaran awal diserahkan kepada China Communications Construction Ltd. (CCCC) bagi Fasa 2, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diserahkan kepada syarikat itu pada kontrak asal.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, wang pendahuluan itu membabitkan kos bagi kerja Fasa 2, landasan berkembar Fasa 2 dan landasan berkembar bagi lanjutan Jajaran Tambahan Utara, ECRL.

Beliau berkata, RM500 juta dibayar balik dalam tempoh seminggu dari 12 April lalu dan RM500 juta selanjutnya diselesaikan dalam tempoh sebulan iaitu dari 12 April lalu menjadikan jumlah bayaran balik RM1 bilion.

“Manakala, baki pembayaran lain diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas ditolak tuntutan bersangkut paut dengan kerja dihentikan dan digantung serta pembatalan Jajaran Tambahan Utara,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, menerusi perjanjian baru itu, sebuah syarikat usahasama di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan CCCC akan ditubuhkan bagi menjayakan projek ECRL.

Dr Mahathir berkata, syarikat usahasama dengan nisbah kepentingan 50:50 itu bakal membina, mengurus, mengendali dan menyelenggara ECRL.

“CCCC juga bersetuju mengambil bahagian dalam operasi dan penyelenggaraan melalui syarikat usahasama 50:50 dengan syarikat Malaysia, MRL malah, syarikat itu juga menyediakan bantuan teknikal dan berkongsi risiko operasi selepas projek siap.

“Kerjasama itu, sekali gus mengurangkan beban kewangan Malaysia kerana mengikut perjanjian asal, Malaysia perlu menanggung semua kos operasi dan penyelenggaraan,” katanya.

Katanya, menerusi perjanjian tambahan itu, pembayaran dibuat mengikut peratusan kerja yang siap dan bukannya tarikh ditetapkan.

Selain itu juga, katanya, pembabitan penyertaan tempatan dalam kerja awam projek itu ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus seperti dipersetujui sebelum ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan China bersetuju dengan perjanjian baharu ECRL itu selepas melihat kekangan kewangan dihadapi Malaysia.

Menurutnya, kerajaan China menyedari Malaysia menghadapi masalah kewangan, selain kos dipersetujui dahulu yang tinggi.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan China kerana memahami kedudukan dan keadaan kewangan negara, selain bersetuju berbincang di meja rundingan.

“Kini, kita dapat buktikan bahawa kita boleh buat dengan kos yang lebih rendah,” katanya.

Katanya, projek diteruskan semula selepas perjanjian baru itu ditandatangani oleh kedua-dua negara.

Ditanya berapa harga tiket yang ditetapkan bagi ECRL itu nanti, Dr Mahathir memaklumkan, perkara (harga tiket) itu belum dibincangkan lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pihaknya menjangkakan projek berkenaan disambung semula pada bulan depan.

Ditanya berhubung rundingan kadar faedah projek berkenaan dengan China-EXIM Bank, Darwis berkata, proses itu masih berjalan.

“Pada masa ini, 85 peratus daripada projek ECRL dibiayai menerusi pinjaman mudah China-EXIM Bank berkadar faedah 3.25 peratus dengan bakinya menerusi pembiayaan tempatan.

“Kita masih membincangkan terma lainnya, seperti tempoh moratorium terbabit. Ini berikutan (tarikh siap) pembinaan berganjak dari 2024 kepada 2026 dan ini melibatkan pemberian tempoh moratorium,” katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 6:01am
d