utama

Kisah kasih tak kesampaian

Oleh Syafil Syazwan Jefri

CINTA terhadap dunia muzik membuatkan penyanyi baru, Putra Fawwaz, 23, yakin untuk melangkah ke dalam industri muzik tanah air. Langkah pertamanya itu juga diiringi dengan single pertama berjudul Gerimis Musim Rindu dalam genre rock.

“Saya peminat tegar muzik rock terutama rock 80-an. Saya jadikan lagu Gerimis Musim Rindu ini sebagai karya pengenalan untuk memperkenalkan nama sebagai penyanyi,” katanya.

Satu cabaran buatnya, Fawwaz atau nama sebenarnya Muhd Izwal Fawwaz mengakui sukar untuk dia menjiwai lagu itu.

“Pada awalnya, agak sukar untuk saya menjiwai lagu ini. Namun, saya cabar serta cuba masukkan diri dalam jalan cerita lagu ini dan ia berhasil,” katanya.

Fawwaz juga berkongsi, Gerimis Musim Rindu berkisar mengenai hubungan cinta yang tidak kesampaian.

“Secara ringkasnya, ia mengisahkan mengenai seorang lelaki yang kehilangan pasangannya buat selama-lamanya,” katanya.

Selain lagu ciptaan S Atan dan lirik oleh Siso itu, Fawwaz juga hadir dengan dua lagi single yang dimuatkan ke dalam satu album mini.

Dua single lain itu adalah Bertabahlah dan Bukan Cinta Sedulang Permata, juga karya S Atan.

Menjadikan Yabang Khalifah sebagai idola dan sumber inspirasi, Fawwaz juga bakal menyertai kelas vokal untuk memantapkan lagi skil nyanyiannya.

“Sebelum ini, saya pernah menyertai kelas vokal dengan guru vokal, Hadi Hassan selama tiga bulan. Insya-Allah, saya sekali lagi akan sertai kelas vokal selepas ini.

“Bagi saya, ia penting kerana mahu menjadi penyanyi yang punya persediaan dari segala aspek,” katanya.

Gerimis Musim Rindu kini sedang hangat dipromosikan dan Fawwaz juga memberitahu bahawa pihaknya dalam perancangan untuk menghasilkan video muzik lagu itu.

Sebagai pendatang baru, Fawwaz berharap kehadirannya akan memeriahkan lagi industri muzik tanah air.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 5:30am
d