utama

Nyawa kedua pakaian terbuang

Oleh BERNAMA

KLANG: Pakaian lama bukan saja boleh dijual murah atau diberikan kepada golongan memerlukan malah dapat ‘diselamatkan’ dan diberi ‘nyawa kedua’ sekali gus menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar.

Eksekutif Jualan Life Line Clothing Malaysia (LLCM), Zaki Suratman berkata, sejak 2013, LLCM mengambil inisiatif mengumpul dan mengitar semula pakaian dan barangan lama yang tidak diperlukan lagi.

Selain mengumpul pakaian, LLCM yang beroperasi di Pelabuhan Klang, berusaha memberi ‘nyawa kedua’ kepada pakaian serta barangan lama yang dikumpul untuk diguna semula atau dijual bagi tujuan amal.

“Sesetengah pihak yang mengitar tekstil sekadar mengumpul dan menjual apa yang mereka dapat dan selebihnya dilupuskan, namun di LLCM, kami membawa barangan terkumpul ke peringkat seterusnya.

“Kami mengubah barang yang dikumpul menjadi sesuatu yang bernilai, boleh dikomersialkan dan berfungsi semula kerana di sini kami mengamalkan dasar sisa sifar iaitu meminimumkan bahan pelupusan demi kelestarian alam sekitar,” katanya.

LLCM mengumpul dan memproses purata antara 50 hingga 60 tan pakaian hasil sumbangan orang ramai menerusi tong kitar semula LLCM setiap minggu.

“Ketika musim puncak iaitu menjelang musim perayaan, kira-kira 70 tan pakaian lama dapat dikumpul kerana ramai yang membuat kerja pembersihan di rumah pada masa itu,” kata Zaki.

Jumlah keseluruhan tong LLCM adalah sebanyak 948 unit yang diletakkan di sekitar Lembah Klang, Bentong (Pahang), Teluk Intan dan Tanjung Malim (Perak) dan Muar, Johor.

“Kami memperluaskan penyediaan tong kitar semula LLCM di kampus universiti dan sekolah dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk kegiatan amal,” tambah beliau.

Antara yang terlibat adalah Majlis Kanser Nasional (Makna), Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Pertubuhan Kitar Semula Malaysia (Komuniti Lestari RCOMM) bagi penyediaan logistik serta infrastruktur untuk aktiviti kitar semula pakaian lama.

Zaki berkata, kesedaran terhadap penggunaan tong LLCM di seluruh negara masih perlu dipertingkatkan dalam kalangan orang ramai kerana mentaliti mereka masih menganggapnya sebagai lokasi pembuangan sampah dan sisa makanan.

Menurut beliau, ketika proses pengutipan, terdapat barang elektrik yang rosak termasuk pelbagai sampah sarap yang turut dibuang ke dalam tong itu, menyebabkan busuk dan mengotorkan pakaian yang terkumpul.

Ada juga perbuatan vandalisme dengan menconteng tong LLCM, roda dipatahkan hingga menyebabkan hasil kutipan terburai.

“Meskipun begitu, kami tetap mengutip semua bahan di dalam tong dan kemudian mengasingkannya mengikut kategori kerana matlamat kami adalah mengamalkan pengurusan sisa sifar.

“Apabila bahan-bahan kutipan tiba di kilang, kami mengasingkannya terlebih dahulu mengikut kategori iaitu pakaian dan bukan pakaian.

“Pakaian yang dikumpul bukan sekadar baju dan seluar malah tudung, topi, kasut, beg tangan, tali pinggang, permainan lembut dan banyak lagi,” katanya.

Barang bukan pakaian seperti peralatan elektrik, perabot dan alat tulis, diasingkan sekali lagi berdasarkan keadaannya iaitu yang elok atau rosak.

Barangan yang rosak akan dibaiki dan diubah suai sebelum dijual kepada pelanggan menerusi Bundle Store.

Tekstil yang masih elok, diasingkan mengikut jenis seperti flanelet dan mixed cotton’ serta dibungkuskan, yang kemudian dilabelkan sebagai kain bersih.

“Kebiasaannya, kami membungkuskan tekstil dalam bentuk bundle 10 kilogram dan 25 kilogram sebelum dijual semula kepada industri pakaian terpakai atau disumbangkan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Tekstil yang tidak boleh digunakan langsung seperti spandeks, poliester, likra, material berzip dan plastik pula dihantar ke kilang kitar semula lain untuk dijadikan bahan bakar industri.

Selain itu pakaian yang mudah menyerap air, dijadikan kain lap dan dibekalkan kepada industri perkilangan yang memerlukan.

“Setiap industri memerlukan kain pembersihan, kami menghargai setiap tekstil dan pakaian yang disumbangkan kerana percaya setiap daripadanya sangat berguna untuk golongan tertentu.

“Kami akan memastikan tiada tekstil yang akan dibuang sebagai sampah ke tapak pelupusan bagi memelihara dan memulihara alam sekitar,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 6:10am
d