utama

90 peratus kelab daif

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Hampir 90 peratus daripada 24 pasukan Liga Malaysia (Liga M) sinonim dengan pepatah ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ apabila ada antara skuad terbabit mempunyai struktur kewangan yang rapuh dengan tempoh bertahan hanya satu bulan untuk meneruskan saingan liga.

Mendedahkan senario itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, kebanyakan pasukan lebih berminat membuat pembelian pemain secara berlebihan tanpa mengikut peruntukan dana yang diperoleh.

Malah, ada antara pasukan berkenaan yang dikategorikan sebagai skuad gergasi dalam Liga Super sebenarnya turut berhadapan masalah kekurangan dana hingga berisiko menghadapi pelbagai masalah terutama membabitkan tunggakan gaji.

Hakikatnya, Kevin melihat situasi berkenaan boleh merencatkan pembangunan bola sepak negara, malah sukar untuk merealisasikan matlamat ke arah liga yang lebih profesional.

Katanya, pemilikan pasukan yang bersifat sementara dan bukannya kekal menjadi antara punca mereka tidak menitik berat perkara menjana pendapatan sendiri sekali gus hanya bergantung kepada belas ihsan kerajaan negeri atau wang tajaan saja.

“Situasi berkenaan mungkin sudah berlaku sejak 50 tahun lalu apabila setiap pasukan tiada perancangan jangka panjang dalam mencari sumber pendapatan secara konsisten dan stabil.

“Ada antara pasukan melakukan perbelanjaan terlebih dahulu dengan membeli pemain yang diinginkan tanpa melihat kekuatan kewangan sekali gus menyebabkan timbul pelbagai masalah seperti isu tunggakan gaji,” katanya ketika ditemui Arena Metro, di sini.

Kevin berkata, walaupun ada antara pasukan dijanjikan sumber dana yang besar bagi menguruskan pasukan, ia

Hanya ia bersifat sementara malah kebanyakanya tiada surat perjanjian sekali gus membolehkan penaja atau kerajaan negeri menarik tajaan tanpa sebarang sekatan.

“Perkara ini sudah terjadi apabila pasukan tertentu yang tidak mencapai sasaran atau sering mengalami kekalahan kemungkinan berhadapan situasi penarikan tajaan dan tindakan itu sukar dihalang kerana kebanyakannya hanya membuat perjanjian lisan.

“Oleh itu, setiap pasukan perlu mempunyai bajet realistik iaitu dijana sendiri oleh pengurusan pasukan tanpa mengharapkan belas ihsan pihak lain,” katanya.

Menurutnya, MFL mahu pasukan Liga M melaksanakan kaedah penswastaan iaitu diuruskan oleh kepimpinan kekal seterusnya mempunyai perancangan seperti sebuah syarikat dengan turut mengutamakan keuntungan bagi memastikan pasukan boleh terus kekal bersaing.

“Sekarang ini, kepemimpinan pasukan Liga M mengemudi untuk tempoh tertentu dengan kebanyakan mereka lebih berminat mengejar impian meraih kejayaan daripada menjana pendapatan untuk kelab.

“Penswastaan bukan mengurangkan kuasa persatuan bola sepak negeri, malah memberi peluang kepada mereka menumpukan kepada program pembangunan dalam melahirkan pemain lebih berkualiti.

“Pada masa sama, pengurusan persatuan boleh menjalinkan kerjasama dengan pengurusan pasukan utama untuk menjana pendapatan, sekali gus menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 6:30am
d