utama

[UPDATE] Kaki putus gagal disambung semula

Oleh Shamsul Munir Safini

KAKI penunggang motosikal yang putus dalam kemalangan di Jalan Jelutong, Georgetown, petang semalam gagal disambung semula selepas mangsa menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kaki kanan mangsa yang putus dari paras lutut ke bawah gagal disambung kerana sel pada kakinya sudah mati.

Dalam kemalangan 6.30 petang itu, kaki kanan Muhammad Kamil Raja Mydin, 19, yang putus dilonggokkan dengan ketulan ais oleh orang ramai dengan harapan ia dapat disambung semula.

Muhammad Kamil ketika kejadian menunggang motosikal Yamaha Y15 ZR bersama remaja perempuan, Siti Nuraishah Mydin Koya, 19, dalam perjalanan dari Jalan C Y Choy menghala ke Jalan Sungai Pinang.

Che Zaimani berkata, sebaik sampai di lokasi kejadian di Jambatan Besi Jalan Jelutong, mangsa terbabas dan terlanggar besi bahagian tengah jambatan itu.

“Kesan rempuhan itu, kaki kanan mangsa putus pada paras lutut ke bawah manakala pembonceng mengalami luka di kaki kanannya.

“Orang ramai yang berada di lokasi kejadian membantu mangsa dengan melonggokkan ais pada paha serta kakinya yang putus,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke HPP bagi mendapatkan rawatan.

Berita berkaitan

'Letak ais pada kaki putus'

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 5:00pm
d