utama

Bersihkan imej....

Oleh Norhayati Nordin

PENGARUH media sosial yang begitu besar kini, membuatkan semua orang tidak mahu ketinggalan dengan arus kemodenan semasa.

Hinggakan, demi menjadi insan pertama yang menyebar maklumat, aspek utama iaitu kebenaran sering terlepas pandang.

Justeru, tanpa diduga ia menyumbang kepada tersebarnya fitnah seperti dialami pelakon Datuk Fizz Fairuz.

Keengganan pihak berkenaan memohon maaf secara bersemuka dengan Fizz akhirnya mendorong laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya.

Ikuti pandangan dan komen beberapa selebriti terhadap tindakan dibuat Fizz itu demi membersihkan semula imej dan nama baik yang tercalar.

1) Siti Nordiana - Penyanyi/Pelakon

“Saya melihat ia tindakan sangat wajar yang diambil Fizz selepas demi nama baik dan imejnya dicemar fitnah. Saya menyokong sepenuhnya kerana warganet ini adakalanya kalau terlebih batasan perlu disaman.

“Perkara membabitkan difitnah tidak boleh berkompromi kerana pembaca pasti ingat ia cerita betul dan terus percaya selepas melihat tajuknya.

“Apapun, sebagai selebriti saya juga sangat berhati-hati dan teliti sebelum memuat naik entri video atau pun foto di media sosial kerana sedar harus menjaga sensitiviti,” katanya.

2) Zoey Rahman - Pengacara/Pelakon

“Ia satu tindakan betul dan tepat yang diambil oleh Fizz selaku mangsa fitnah. Kebenaran harus ditegakkan. Apatah lagi, dengan tindakan undang-undang ini dapat memberi pengajaran kepada banyak pihak supaya jangan ambil mudah terhadap apa saja dimuat naik di media sosial.

“Asalkan dapat saja maklumat, tanpa fikir ia sahih atau tidak terus saja disebarkan untuk mengejar ‘like’ dan kumpul pengikut. Tolak ke tepi, rasa hormat pada maruah orang lain.

“Justeru, saya melihat sepatutnya di negara ini sudah ada undang-undang berkaitan media sosial supaya apa saja entri dimuat naik pengguna dapat dipantau pihak dipertanggungjawabkan,” katanya.

3) Along Cham - Pelakon komedi/Pengacara

“Saya sangat menyokong tindakan dilakukan Fizz kerana profesional dan mengikut prosedur undang-undang yang betul.

“Sampai bila harus berdiam dan membiarkan saja pihak lain mengambil kesempatan mudah menyebar fitnah yang nyata tidak betul serta menjatuhkan reputasi.

“Di arena platform media sosial yang menjadi perhatian ramai sekarang, janganlah apa saja cerita tidak baik pasti golongan selebriti dikaitkan. Kami juga ada hati dan perasaan. Begitu juga nama baik keluarga.

“Oleh itu, jangan terburu-buru mahu memuat naik sebarang entri di media sosial kerana wajar untuk teliti kebenarannya sebelum membuat perkongsian,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 6:00am
d