utama

Ejen kaki auta

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Daripada luaran, mereka nampak sihat namun terdapat beberapa pemain import yang dibawa ejen tertentu sebenarnya tidak cergas malah mempunyai sejarah kecederaan hingga pasukan yang mengambil mereka terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.

Sudahlah tidak boleh beraksi, pemain berkenaan boleh diibaratkan sebagai makan angin ketika berada di negara ini apabila segala kos rawatan termasuk gaji ditanggung sepenuhnya oleh majikan walaupun tidak boleh beraksi untuk tempoh lama.

Kebanyakan pengurusan pasukan liga Malaysia pernah melalui situasi berkenaan termasuklah membabitkan kelab gergasi apabila ejen membawa pemain import yang kononnya tiada masalah kesihatan atau kecederaan serius tetapi perkara itu terbongkar ketika mengharungi perlawanan bersama pasukan.

Antara pasukan yang menanggung kerugian ratusan ribu ringgit adalah Kuala Lumpur apabila beberapa pemain import mereka mengalami kecederaan ketika saingan liga baharu saja bermula.

Perkara itu diakui Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa apabila pasukannya hanya boleh menurunkan dua pemain import saja setakat ini manakala yang lain masih lagi cedera.

Katanya, KLFA terpaksa membayar gaji pemain import yang cedera termasuk menanggung kos perubatan mereka yang mencecah ratusan ribu ringgit.

“Mereka tidak boleh beraksi untuk tempoh lama dan bayangkan jika sebulan gaji pemain terbabit dalam lingkungan RM30,000 hingga RM70,000, jadi berapa banyak kami perlu tanggung kerugian.

“Ada antara pemain berkenaan sebenarnya pernah mengalami kecederaan serius namun ejen bijak menyembunyikannya sebelum terbongkar selepas bermain,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, awal Februari lalu, Kuala Lumpur menamatkan kontrak pemain pertahanan dari Indonesia, Achmad Jufriyanto manakala Guilherme de Paula pula tidak boleh beraksi untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

Sementara itu, pengendali Selangor, B Sathianathan mengaku terdapat ejen putar belit yang membawa masuk pemain cedera, sekali gus menyebabkan pasukan terpaksa menanggung kerugian.

Sathia yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) berkata, beliau pernah terpedaya dengan kata-kata manis ejen sekali gus tidak dapat menggunakan khidmat pemain import terbabit untuk tempoh lama.

“Gaji pemain import terbabit kena bayar manakala jika mahu tebus (kontrak) mereka perlu keluarkan pampasan yang tinggi sekali gus menyebabkan pasukan rugi.

“Sebab itu, saya akan periksa secara terperinci setiap pemain import termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui kecederaan lama yang pernah mereka alami,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 10:55am
d