utama

Bayi maut terjatuh panjat jeriji tingkap

Oleh Muhammad Apendy Issahak

BAYI 18 bulan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh ketika memanjat jeriji tingkap di rumah pengasuhnya di Taman Kuala Kangsar, semalam.

Muhammad Aidil Amsyar Muhammad Hafizuddin disahkan meninggal dunia jam 9.40 pagi ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, ibu mangsa, Noorsyaqinas Rosni, 25, menghantar anaknya ke rumah pengasuh jam 7 pagi dan ketika berada di tempat kerja di Pejabat Tanah Kuala Kangsar, dia dimaklumkan anaknya dihantar ke hospital.

“Ibu mangsa memberitahu menghantar anak lelakinya itu dalam dalam keadaan baik ke rumah pengasuh, namun pada jam 9 pagi ketika sedang bekerja, dia didatangi ibu kepada pengasuh memberitahu anaknya berada di hospital.

“Wanita terbabit bergegas ke hospital dan bertemu pengasuh untuk bertanyakan keadaan anaknya dan dimaklumkan bayinya terjatuh selepas memanjat jeriji tingkap dalam bilik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pengasuh turut memberitahu bayi terbabit masih membuka mata ketika ke hospital.

“Doktor yang merawat memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia selepas diberi rawatan pernafasan (CPR) dan dimasukkan bekalan oksigen selama satu jam bermula 8.40 pagi tetapi tiada tindak balas,” katanya.

Razali berkata, susulan itu ibu mangsa membuat laporan polis dan siasatan awal mendapati bayi malang ini dihantar ke rumah pengasuh sejak awal bulan ini pada hari bekerja sahaja.

“Ibu mangsa memaklumkan tiada sebarang kesan tanda kecederaan fizikal pada tubuh bayinya.

“Siasatan mendapati ketika kejadian berlaku hanya wanita berusia 24 tahun (pengasuh) bersama anaknya yang berusia setahun dan Muhammad Aidil yang dijaganya,” katanya.

Menurutnya, pengasuh menyedari mangsa tidak memberi reaksi dan dalam keadaan tidak sedar apabila dipanggil, terus bertindak membawa mangsa ke hospital.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tiada tanda kesan jenayah yang boleh menjurus berlakunya jenayah dan bedah siasat dilakukan mendapati punca kematian disebabkan masalah organ dalaman.

“Jantung bayi juga tidak kelihatan normal kerana sedikit besar tidak seperti kanak-kanak seusianya, selain bedah siasat tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya.

Razali berkata, pihaknya kini masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kecuaian terhadap penjagaan kanak-kanak mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 11:51am
d