utama

'Saya gembira anjing itu selamat'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“ANJING pun makhluk Allah dan kita sebagai manusia kenalah ada sifat ihsan untuk membantu," kata Yuzaile Yusop.

Kontraktor binaan berusia 47 tahun itu berkata demikian mengulas tindakannya menyelamatkan seekor anjing yang ditimpa kemalangan di Jalan Changkat JongTeluk Intan, Perak, selepas gambarnya tular di media sosial sejak Khamis lalu.

Dia ketika dihubungi Harian Metro hari ini berkata, dia tidak menyangka peristiwa jam 9.30 pagi ketika dia dalam perjalanan menunggang motosikal ke tempat kerja sempat dirakam pengguna jalan raya.

"Ketika melalui jalan dua lorong itu, saya nampak kelibat seperti bangkai anjing di lorong kanan jalan tetapi masih bergerak menunjukkan ia masih hidup dan saya perlu berbuat sesuatu untuk menyelamatkannya.

"Saya terus bergerak kira-kira 100 meter ke depan untuk membuat pusingan U dan ketika itu saya hanya mampu berdoa supaya tiada kenderaan lain yang merempuh anjing berkenaan," katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, apabila tiba semula di kawasan berkenaan, dia berusaha untuk mengangkat anjing berkenaan yang dilihat berlumuran darah.

"Waktu itu saya hanya terfikir untuk mengalihkan anjing itu ke kawasan selamat sebelum mendatangkan kecederaan atau kematian kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Mujurlah, pada masa sama datang seorang gadis India menghulurkan kain pelikat sebagai lapik untuk saya mengangkat anjing itu ke tempat selamat," katanya.

Yuzaile berkata, selepas berbincang dengan gadis berkenaan yang menaiki kereta, dia bersetuju membawa anjing berkenaan ke klinik haiwan berhampiran.

"Selepas beberapa jam, barulah saya tahu gambar saya tular di Facebook (FB).

"Saya gembira apabila membaca komen di FB yang memberitahu anjing berkenaan kini selamat dalam jagaan gadis India yang bersama ketika menyelamatkannya," katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 6:49pm
d