utama

Usah pandang usia

Oleh Georgie Joseph

Walaupun baru berusia 16 tahun, tetapi penyanyi kelahiran Australia, Ruel mengagumkan industri muzik dunia dengan kehebatannya mencipta lagu.

Malah, karyanya cukup meyakinkan dan mendapat penerimaan yang sangat bagus.

Kerjaya nyanyian Ruel juga semakin mekar apabila jutaan peminat seluruh dunia mula mengikuti perkembangannya.

Tidak kurang juga ramai meraguinya hanya disebabkan dia terlalu muda dan pengetahuan muziknya dipersoalkan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Not Thinkin’ Bout You mengakui itu antara dilema dihadapinya sejak memulakan karier dua tahun lalu.

Dia tidak menafikan masih ada yang sinis melihat kemampuannya dalam berkarya.

“Sememangnya cukup sukar untuk melepaskan diri daripada tanggapan yang sinis.

“Apabila berbicara mengenai usia, orang lebih cenderung melihat dari segi itu berbanding hasil kerja saya.

“Mereka pasti mempersoalkan bagaimana saya boleh membuat muzik pada usia sekarang?

“Memang sangat sukar untuk meyakinkan orang mengenai kredibiliti apabila usia jadi ukuran,” katanya.

Walaupun masih baru, Ruel pantas menjadi ikutan dan sebutan peminat muzik terutama remaja.

Dia kini antara penyanyi yang memiliki ramai peminat fanatik.

Tidak pernah menyangka popularitinya naik sepantas itu, dia perlahan-lahan menyesuaikan diri dalam dunia glamour.

Pada masa sama, dia juga mahu berikan yang terbaik buat peminatnya.

“Saya tidaklah sampai tertekan dengan perhatian yang diberikan sejak saya mula dikenali.

“Saya akur ramai yang mahu tahu setiap pergerakan saya dan saya menyesuaikan diri dalam hal itu.

“Jumlah peminat yang mahu mengambil gambar dengan saya semakin bertambah.

“Saya rasa agak janggal juga berhadapan situasi begitu,” katanya.

Berpegang teguh kepada prinsip untuk menjadi pemuzik yang jujur, Ruel mengakui dia perlu memuaskan hati peminatnya juga.

Dia tidak mahu pentingkan diri dan hanya mengikut kehendak sendiri terutama dalam berkarya.

“Saya memang sangat seronok apabila mendapat kepuasan menulis lagu yang kena dengan kehendak hati sendiri.

Bagaimanapun, perasaan itu berubah sedikit apabila saya mula mengumpul peminat.

“Saya memang berazam menghasilkan karya memuaskan hati, tapi pada masa sama kena ikut kehendak peminat.

“Itu sajalah cara untuk terus menyimpan kepercayaan mereka dan keseimbangan sebegitu amat diperlukan,” katanya.

Ruel turut berkongsi mengenai penceritaan lagu menerusi pengalaman hidupnya.

Apatah lagi, dia sendiri amat menitikberatkan mesej yang cukup kuat dalam lagunya.

Dia juga tidak kisah kongsi apa juga cerita mengenai kehidupannya setiap kali menulis lagu.

Baginya, sesebuah karya hanya akan hidup apabila dia berjaya menyalurkan emosi jujur yang datang daripada dirinya.

“Lagu yang saya tulis setakat ini semuanya menyentuh mengenai pengalaman kisah peribadi.

“Kalau orang lain yang tulis, saya rasa hasilnya tidak akan sama atau tidak sampai seperti saya mahukan.

“Paling terasa adalah bahagian emosi untuk sesebuah lagu. Saya amat mementingkan emosi saya boleh berhubung dengan lagu berkenaan sebelum memutuskan untuk dilancarkan,” katanya.

Namun, Ruel menyatakan dia beruntung apabila muncul di era populariti muzik pop ketika ini.

Dia akui sebenarnya kurang yakin dengan muzik pop sebelum ini, namun kini teguh memperjuangkan genre itu.

“Dulu saya rasa muzik pop adalah muzik yang terlalu klise, namun ternyata sekarang sangat berkuasa.

“Rasanya pop adalah muzik paling menarik buat masa ini.

“Saya akan terus mencari hala tuju yang tepat untuk memperbaiki muzik saya.

“Untuk album seterusnya, saya sudah tahu apa yang saya mahukan untuk lagu saya.

“Saya akan tampil lebih matang daripada sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 5:30am
d