utama

Bukan merajuk

Oleh Norhayati Nordin

WALAUPUN namanya dengan cerita sensasi dan kontroversi cukup sinonim, ia sudah menjadi kisah lalu bagi pelakon Fathia Latiff.

Berbekalkan motivasi diri baru, wanita cekal berusia 32 tahun ini memberi jaminan dia sudah ‘move on’ daripada pengalaman hitam itu dan mula menceburi bidang perniagaan.

“Hidup ini mesti diteruskan dan saya tidak mahu pandang ke belakang lagi. Sekarang saya perlu lebih positif.

“Apatah lagi, tumpuan masyarakat masa kini lebih kepada pengaruh media sosial dan sekarang tumpuan saya pun ke arah itu. Saya tak merajuk dan masih aktif dalam hiburan, cuma platformnya berbeza. Kini saya memang aktif di media sosial,” katanya.

Yakin dirinya masih ada pengaruh sebagai selebriti popular, Fathia berkata, aktif di lapangan media sosial menjadi bab baru dalam kehidupannya.

“Saya tidak boleh terus menunggu saja tawaran berlakon daripada stesen televisyen tanpa berusaha sendiri untuk mendapatkan pendapatan lain.

“Justeru, melihatkan kuasa pengaruh media sosial dalam kalangan generasi muda ketika ini, saya memang aktif di Instagram berbanding TV,” katanya.

Ditanya mengenai kerinduannya terhadap kegemilangan lalu, Fathia mengakui ada rasa rindu

itu.

“Memang saya rindu dan yakin masa itu akan kembali. Tetapi sekarang aktiviti saya memang sibuk di media sosial. Seperti saya katakan, platform media sosial adalah hala tuju baru saya untuk mencari pendapatan bagi meneruskan kehidupan.

“Saya kini giat membuat aktiviti ulasan makanan yang mengikut pemerhatian ‘rating’ makanan antara tertinggi dan paling ramai orang suka di media sosial.

“Sebenarnya, saya juga ada program sendiri dikenali TeeTee Eats Show di Instagram iaitu berkunjung ke kedai makanan enak untuk menikmati hidangan disediakan,” katanya.

Menurut Fathia, sambutan daripada pengikutnya di Instagram sangat baik dan positif dan ia menjadi pemangkin semangat buatnya untuk terus maju.

Fathia yang begitu banyak terdedah dengan cerita sensasi dan kontroversi sebelum ini memiliki sebanyak 3.3 juta pengikut di Instagram.

Perkenalkan tudung nona manis

Fathia yang mesra berbicara mengakui kehidupannya kini penuh dengan kegembiraan dan bahagia di sisi keluarga.

Dalam masa sama, Fathia juga teruja menceburi bidang perniagaan. Walaupun segala urusan kerja dilakukan sendiri dan perlu bermula dari bawah, pelakon ini sangat puas.

Katanya, sudah tiba masa untuk dia bangkit dan cuba melakukan banyak perkara bertitik-tolak daripada pengalamannya.

“Saya pernah menjadi duta beberapa produk sebelum ini. Jadi sekarang masanya untuk saya membangunkan jenama sendiri.

“Walaupun tidak mudah, saya harus berani mencuba dan melakukannya serta tidak mengharap pembiayaan kewangan pihak lain.

“Produk jenama tudung Nona Manis yang akan diperkenalkan tidak lama lagi dihasilkan sepenuhnya oleh saya. Pembiayaan kewangan pun daripada saya sendiri.

“Ia akan menjadi produk jenama tudung mampu milik yang harganya berpatutan dan rekaannya juga menarik,” katanya.

Enggan produknya dibanding-bandingkan dengan jenama lain, Fathia berkata, dia sangat teliti dengan pemilihan fabrik untuk pembuatan tudung itu.

Katanya, dia sanggup turun padang melakukan proses pemilihan dan pembelian fabrik kain sesuai kerana belajar dan mengambil pengalaman daripada selebriti senior yang sudah lama berniaga.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 6:30am
d