utama

Derma rambut

Oleh Redzuan Muharam

BAGI menunjukkan tanda sokongan terhadap pesakit barah yang menjalani rawatan kemoterapi, Persatuan Kunci Harapan mengambil inisiatif dengan menganjurkan program Kempen Derma Rambut di Amerin Mall di sini, semalam.

Timbalan Presiden Persatuan Kunci Harapan, Soh Wei San berkata, kempen itu dianjurkan dengan kerjasama sebuah salun yang menyediakan dua jurudandan rambut profesional untuk mengendalikan sesi pemotongan rambut sepanjang program berlangsung.

Menurut Soh, matlamatnya untuk memupuk kesedaran mengenai penyakit barah seterusnya mengajak pengunjung di pusat beli-belah membantu dengan memotong rambut secara sukarela.

Katanya, rambut dipotong itu kemudian akan dikumpulkan untuk dihantar ke Taiwan dan China bagi dijadikan rambut palsu sebelum disumbangkan kepada pesakit yang memerlukan.

“Masalah keguguran rambut antara kesan sampingan yang dialami pesakit barah dan keadaan itu menyebabkan mereka hilang keyakinan diri untuk berdepan dengan khalayak.

“Malah, masalah itu juga menyebabkan pesakit menjadikannya sebagai alasan tidak menjalani rawatan kemoterapi seperti yang disyorkan.

“Menyedari hal itu, kita adakan program sebegini dengan harapan dapat mengajak orang ramai bersama-sama membantu hanya dengan memotong rambut mereka,” katanya.

Soh berkata, program sebegitu diteruskan dari semasa ke semasa bagi mencapai sasaran mengumpul sekurang-kurangnya 2,000 set rambut palsu untuk disumbang kepada pesakit menjelang awal tahun depan.

Katanya, selain memberi kegembiraan kepada pesakit, inisiatif itu juga bertujuan meringankan beban mereka terutama yang tidak mampu membeli rambut palsu.

“Harga rambut palsu di pasaran agak mahal iaitu antara RM800 hingga RM2,000 seunit dan tidak semua pesakit mampu mendapatkannya.

“Jadi, apa yang dilakukan ini sebahagian inisiatif kita bagi membantu pesakit dan diharap ia dapat membuka mata masyarakat di luar sana,” katanya.

Sementara itu, penderma, Michelle Leong, 22, berkata, kehadirannya ke program berkenaan adalah sebagai tanda sokongan terhadap ibu saudaranya yang disahkan menghidap barah payudara bulan lalu.

“Rasa gembira kerana dapat menjadi salah seorang penderma dan jujurnya, saya sudah lama menanti peluang seperti ini.

“Diharap, program seperti ini diteruskan dan saya galakkan masyarakat di luar turut sama menyokong kempen sebegini bagi membantu pesakit meneruskan hidup dengan lebih bersemangat,” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 7:00am
d