utama

Bayi meninggal dunia dalam penerbangan

Oleh Mahaizura Abd Malik

BAYI berusia dua bulan meninggal dunia dalam penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia, hari ini.

Jurucakap AirAsia mengesahkan, bayi itu meninggal dunia selepas diberi bantuan kecemasan perubatan dalam penerbangan D7236, yang berlepas dari Kuala Lumpur, 12.05 pagi tadi.

Kenyataan itu berkata, mereka meminta bantuan dengan pasukan pakar perubatan dan Polis Australia Barat ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.

"Selaras dengan prosedur, kru penerbangan meminta bantuan kecemasan perubatan semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.

"Kami tidak dapat memberikan butiran lanjut tentang keadaan bayi itu, namun kami memberikan keutamaan kepada bayi dan keluarganya itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat insiden itu, penerbangan pulang pesawat D7237 ke ibu negara yang sepatutnya berlepas pada 6.50 pagi terpaksa ditangguhkan kira-kira empat jam daripada jadual asal.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 1:53pm
d