utama

Gabung rap, rock menjadi

Oleh Norhayati Nordin

BARU dua tahun pembabitan serius Xpose Band di arena muzik arus perdana, satu demi satu peluang diperoleh mereka.

Hujung tahun lalu, penyanyinya, Furhan ke Jakarta untuk rakaman semula secara duet lagu Samar Bayangan bersama Nicky Astria.

Kini, band dianggotai lima anak muda itu berpeluang pula bekerjasama dengan penyanyi rap, W.A.R.I.S untuk lagu baru berjudul Deru.

Selain Furhan, Xpose Band dibarisi Eppy (bass), Zaim, (keyboard), Shah Reza (gitar) dan Taqim (dram).

Mengulas kerjasama itu, Eppy yang juga ketua kumpulan berkata, mereka tidak menyangka dapat berduet dengan W.A.R.I.S.

“Sebenarnya, bimbang juga dengan kerjasama ini kerana tahu W.A.R.I.S seorang yang cerewet. Takut dia tak boleh terima pendapat. Namun, tanggapan itu meleset kerana W.A.R.I.S boleh dibawa berbincang dan kami saling bertukar pendapat untuk lagu Deru.

“Tak sangka juga, gabungan genre rock dan rap yang cuba dilakukan ini menjadi dan Xpose Band sangat berpuas hati. Ternyata risiko yang diambil Xpose Band untuk mencuba gabungan muzik baru ini berhasil seperti diharapkan,” katanya.

Eppy berkata, dia bersama Furhan mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan lirik lagu Deru yang berkisar kisah putus cinta.

“Mula-mula memang tak ada idea juga tetapi pengalaman putus cinta dialami akhirnya menjadi sumber inspirasi. Apatah lagi, kisah putus cinta ini pengalaman biasa pernah dilalui setiap orang. Jadi, sangat mudah untuk dirasai,” katanya.

Selain itu, video lirik lagu Deru mencatat lebih 166,000 tontonan di YouTube selepas lebih seminggu dimuat naik.

Eppy berkata, mereka berharap lagu Deru itu akan menjadi sehebat lagu Sandiwara dan Maafkan Ku.

“Impak lagu Sandiwara hingga kini masih terlalu besar buat Xpose Band. Penangan lagu itu masih berterusan. Manakala, lagu Maafkan Ku yang kurang promosi daripada kami diakui agak ketinggalan. Ramai peminat tidak tahu ia lagu baru Xpose Band.

“Namun, itu tidak bermakna lagu Maafkan Ku tiada impak langsung. Cuma, diakui penerimaan pendengar tidak sehebat lagu Sandiwara,” katanya.

W.A.R.I.S terbuka terima Xpose Band

Ego diakui sering membuatkan seseorang terlupa bahawa tidak ada yang sempurna dalam kehidupan.

Itulah yang terjadi kepada W.A.R.I.S. Sentiasa ingin bakat seninya menonjol di hadapan, bapa kepada dua anak ini pernah menjadi seorang yang pentingkan diri sendiri.

Mengakui kehidupan rumah tangga banyak membawa perubahan pada dirinya, W.A.R.I.S, 30, berkata, dia mula sedar mengenai sesuatu.

Katanya, tiada kesempurnaan dalam hidup manusia, tetapi bersikap terbuka dan positif pasti membawa kebaikan.

“Untuk kerjasama dengan Xpose Band ini, saya akui memang tidak mengenali mereka. Cuma, saya tertarik dengan genre rock diperjuangkan mereka.

“Apatah lagi, sebaik mendengar demo melodi daripada mereka, saya dapat rasakan ada keunikan yang sangat menarik.

“Saya tidak ambil masa lama untuk bersetuju dengan kerjasama ini. Bagi saya, ada keistimewaannya jika genre rap dan rock digabungkan,” katanya.

Pemilik nama sebenar Muzammil Alias ini berkata, dia juga sangat selesa sepanjang bekerjasama dengan Xpose Band untuk lagu Deru itu.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 5:30am
d