utama

Susah senang bersama

Oleh Hadzlihady Hassan

“SUSAH atau senang, saya tetap akan bersama abang,” kata Norlia Mohamed Noor, 53, wanita tempatan yang berkahiwn dengan lelaki warga Indonesia sejak 25 tahun lalu.

Menurutya, walaupun perkahiwnan mereka diuji dengan pelbagai dugaan namun dia dan suami, Sapno Tukijo, 52, sentiasa bertolak ansur dan menerima antara satu sama lain.

Menceritakan kembali bagaimana mereka bertemu, Norlia berkata, dia mengenali suaminya itu ketika tinggal di Subang Jaya, Selangor dan bekerja di sebuah bank.

“Ketika itu, suami bekerja di restoran yang diusahakan bapa dan ibu saudara manakala saya pula tinggal bersama mereka kerana bekerja di Kuala Lumpur.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari bertemu dengan suami hingga lama kelamaan dia bertanya sama ada saya sudi berkahiwn dengannya atau tidak,” katanya.

Menurutnya, mereka hanya saling mengenali antara satu sama lain selama sebulan dan akhirnya bersetuju berkahwin.

“Saya tertarik dengan sikap suami kerana perangainya ada persamaan dengan bapa iaitu tidak suka marah dan banyak bersabar.

“Jika diikutkan, saya lebih garang dan banyak bercakap berbanding suami yang tidak suka melenting dan bukan seorang yang panas baran,” katanya.

Menurutnya, pada awalnya, memang dia banyak berfikir sebelum membuat keputusan mahu mendirikan rumah tangga dengan suaminya kerana lelaki itu bukan rakyat tempatan.

“Dulu, prosedur kahwin dengan orang asing memang sangat susah dan kami terpaksa pulang ke kampung untuk mengambil segala dokumen lengkap.

“Malah, ketika mahu mendaftar anak masuk sekolah, pasti akan ada guru yang banyak bertanya kepada kami,” katanya.

Menurutnya, ketika berkahwin, dia berusia 28 tahun dan sehingga kini, mereka mempunyai lima anak berusia 14 hingga 24 tahun masing-masing tiga lelaki dan dua perempuan.

Syukur, walaupun hidup kami tidak semewah orang lain namun empat daripada anak saya masih menuntut di universiti manakala seorang lagi belajar di tingkatan dua.

“Apa yang saya kagum dengan suami dia akan berusaha untuk mencari wang bagi memasitikan semua anak kami mendapat pendidikan sempurna walaupun tahu hidup kami sangat susah,” katanya.

Menurutnya, mereka kini hanya mampu menyewa di sebuah rumah wakaf di Masjid Lebuh Acheh yang disewa dengan bayaran RM230 sebulan.

“Rumah kami hanya ada satu bilik dan sangat sempit namun mujur anak-anak tidak merungut dan tahu kesusahan dialami bapa mereka.

“Walaupun susah, saya tetap menyanyangi suami kerana tahu sikapnya yang tidak pernah mengalah dan rajin mencari rezeki demi sesuap nasi buat kami sekeluarga,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 7:00am
d