utama

Lubuk 916

Oleh Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik

BANDAR ini hanya dikenali sebagai laluan antara Seremban ke Bahau namun ia memiliki keistimewaan tersendiri kerana menjadi lubuk emas murah di negara ini sejak 1940-an lagi.

Terdapat lapan kedai emas di pekan ini yang menjual emas dengan harga lebih murah sehingga 16 peratus berbanding pasaran biasa.

Ketika tinjauan dilakukan, harga semasa emas 916 ialah RM193, tetapi kedai emas di bandar ini menawarkan harga antara RM161 hingga RM163 segram.

Bagi emas 999 pula, harga yang ditawarkan adalah RM178 segram.

Barangan kemas yang sering mendapat sambutan di situ ialah rantai tangan dan cincin.

Malah, pelanggan juga boleh menukar barangan kemas masing-masing dengan fesyen terkini barangan kemas yang dihajati pada harga yang munasabah.

Lebih menarik, rekaan barang kemas di sini juga adalah fesyen terkini sama seperti kedai emas berjenama.

Selain Kuala Pilah, barangan kemas dijual di Muar, Johor dan Sungai Petani, Kedah juga dikatakan murah antara RM20 hingga RM30 segram berbanding harga semasa emas 916.

Harga emas di Kuala Pilah ini kerana beberapa faktor iaitu peniaga dan pemilik kedai emas tidak terikat dengan Persatuan Peniaga Emas Malaysia, tidak perlu membayar sewa kedai kerana premis milik sendiri dan kos buruh kerana rata-rata pekerja adalah dalam kalangan keluarga sendiri.

Seorang peniaga emas yang mahu dikenali sebagai Ng, 60, berkata dia menjual emas mengikut harga sendiri bagi menarik pelanggan.

“Yang penting tidak langgar undang-undang,” katanya yang menyambung legasi perusahaan kedai emas keluarganya sejak 100 tahun lalu.

Sebab itu, kedainya menjadi tumpuan pelanggan termasuk dari luar negeri ini.

Bagaimanapun, rata-rata pemilik kedai emas meminta supaya gambar mereka tidak dirakamkan Harian Metro atas atas faktor keselamatan.

Ng berkata, dia adalah generasi ketiga mengusahakan perniagaan itu tanpa terikat dengan mana-mana persatuan berasaskan emas.

“Kami tidak mahu dikawal dan terikat dengan harga ditetapkan pasaran. Lagipun kena bayar yuran keahlian kalau masuk persatuan.

“Lebih baik macam ini untung rugi pun sendiri-sendiri.

“Premis pun kami tidak menyewa sebab itu boleh letak harga emas dan upah murah dari pasaran,” katanya.

Katanya, setiap barang kemas di kedainya diperoleh dari kilang di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor.

“Sudah pasti kalau sudah lama berurusan dan beli pukal kita akan dapat harga murah dari pembekal.

“Lagipun daerah ini tidak ramai penduduk, hendak tarik orang luar datang kena tawar harga lebih murah.

“Kedai kami pernah tawarkan harga paling rendah RM20 hingga RM25 segram pada 1999 sebab itu ada pelanggan sanggup datang dari jauh termasuk dari Kedah, Kelantan dan Johor,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Angel berkata, mereka memiliki kedai sendiri selain menggunakan khidmat pekerja dalam kalangan ahli keluarga.

“Kami meniaga kecil-kecilan dan tidak mengambil pekerja luar.

“Sebab itu kami berani letak harga rendah lagipun penggemar emas pasti akan datang beli walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh.

“Kami tidak kisah menawarkan harga rendah dari pasaran semasa kerana kami juga turut menyediakan khidmat menempah, membaiki dan mencuci emas yang masih mampu memberi pulangan,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 7:00am
d