utama

Keistimewaan tersendiri Kandang

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

ANAK kecil main api. Terbakar hatinya yang sepi. Air mata darah bercampur keringat. Bumi dipijak milik orang.

Sekali lagi, lagu keramat berjudul Warisan yang menyentuh hati diperdengarkan kepada penonton menerusi teater Kandang arahan Omar Ali.

Kali pertama dipentaskan pada Ogos 2017, Kandang kini kembali menemui penonton malam ini sehingga (Ahad ini) 28 April di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac), Jalan Sentul, Kuala Lumpur.

Menerusi pementasan kali pertama, Omar berjaya merangkul Anugerah Pengarah Terbaik serta tiga kategori lain iaitu Anugerah Persembahan Terbaik 2017, Anugerah Reka Bentuk Kostum Terbaik 2017 dan Reka Bentuk Kostum Terbaik dan Pelakon Terbaik di Anugerah Kesenian BOH Cameronian.

Omar yang ditemui pada sesi latihan Kandang berkata, pementasan kali kedua ini mempunyai keistimewaan tersendiri terutama membabitkan klpac.

“Ini antara agenda sempena ulang tahun ke-30 kewujudan The Actors Studio. Mereka suka pementasan Kandang yang pertama dan cadangkan untuk dipentaskan semula.

“Ada beberapa pelakon bertukar kerana pelakon asal tak dapat memberikan komitmen. Bagaimanapun ia tak menjejaskan persembahan keseluruhan kerana lakonan pengganti mereka juga bagus.

“Begitu juga skrip, ada sedikit perubahan tapi ia tidaklah banyak sangat,” katanya.

Omar mengakui pementasan pertama Kandang menerima banyak reaksi berbeza daripada peminat.

“Kami turut mendapat permintaan peminat di media sosial yang minta teater ini dipentaskan semula dan menariknya sekarang kita bercakap mengenai Malaysia Baharu.

“Arwah ayah saya yang menulis cerita ini pernah berkata, kita bukan mahukan perubahan parti politik semata-mata tetapi nak mencari pemimpin yang jujur terhadap rakyatnya.

‘Apa yang nak diketengahkan adalah budaya kepimpinan seseorang yang dilantik sebagai ketua. Mereka yang di atas tak kiralah mewakili parti mana perlulah amanah kepada rakyat,” katanya.

Teater Kandang sebenarnya karya klasik George Orwell yang menggunakan judul Animal Farm dan kini diadaptasikan ke dalam bahasa Malaysia oleh Omar dan bapanya, Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Kandang adalah karya sastera klasik Inggeris namun diadaptasi ke dalam bahasa Malaysia dibuat mengikut konteks budaya kepemimpinan tempatan.

Diterbitkan di England pada 1945, Animal Farm adalah sebuah novela alegori satira yang mencerminkan peristiwa Revolusi Russia pada 1917 dan kemudian ke era Kesatuan Republik Sosialis Soviet di bawah pimpinan Joseph Stalin.

Kandang memaparkan ketamakan kuasa dalam konteks serantau. Kisah ini turut memaparkan landskap kontemporari tempatan dan luar negara yang berkaitan dengan hal ehwal semasa.

Dialog yang dilontarkan oleh barisan pelakon di atas pentas mungkin dapat mencetuskan minat dan memaut minda untuk menghayati inti pati cerita yang dikete­ngahkan.

Kandang mengisahkan sekumpulan haiwan ternakan di Ladang Jones yang berjaya mengusir keluar tuan ladang dan mereka akhirnya meraih kemerdekaan.

Pelakon yang menjayakan Kandang ialah Clarence Kuna (Balau/ Boxer), Rosheen Fatima (Bintaga/ Snowball), Faez Malik (Jalak), Ashraf Zain (Tunggal/ Napoleon), Nik Waheeda (Pendek/ Muriel), Joe Chin (Gading/ Squealer), Zul Zamir (Markus/ Old Major), Nabil Zakaria (Bajak/ Clover), Benedict Chin (Taikonang/ Mr Pilkington), Chloe Tan (Tengkujuh/ Mr Whymper), Oxford Tong (Tuan Jones/ Mr Jones), Riena Aisya, Endee Ahmad (Santai/ Benjamin) serta Coebar Abel (Sudu).

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 7:00am
d