utama

Bubar saja...

Oleh Syazwan Msar

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) bersikap amatur dengan memaksa rakan kongsi mematuhi setiap kehendak mereka dan kegagalan berbuat demikian akan dikenakan pelbagai bentuk hukuman termasuk pemotongan geran.

Berikutan itu, MFL sepatutnya dibubarkan dan diletakkan di bawah kendalian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengelak lebih banyak masalah lain akan timbul pada masa akan datang.

Itu antara pandangan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh yang sudah menjangkakan masalah terbabit akan timbul apabila badan pengurusan liga itu lebih mengambil sikap mengheret daripada mendukung pasukan yang menghadapi masalah.

Beliau berkata, kegagalan MFL sudah terbukti apabila penarikan penajaan utama selain isu penyingkiran Perlis sebelum ini yang dikatakan mendapat ‘lesen’ daripada badan pengurusan liga itu untuk beraksi di Liga Perdana.

“Apa kebaikan MFL bawa kepada liga bolasepak tempatan? Setakat ini saya lihat tiada perubahan ketara cuma timbul lebih banyak masalah selain tidak membantu pasukan ke arah lebih profesional.

“Sebagai badan pengurusan liga, tidak boleh memaksa pasukan untuk terus menjadi profesional, perlu ada peringkatnya yang perlu dilaksanakan dan bukannya memaksa mereka untuk mematuhi semuanya hingga ada yang tertinggal.

“MFL jangan terlalu ghairah untuk menghukum pasukan yang bertanding dan lebih baik membantu atau mendukung pasukan bermasalah daripada mengheret mereka untuk dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Arena Metro semalam melaporkan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mengemukakan enam dalil supaya Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam meletakkan jawatan daripada terus mengendalikan Liga Malaysia (Liga M).

Katanya, terdapat banyak faktor yang menyebabkan rakan kongsi bersuara menuntut agar Kevin segera meninggalkan MFL termasuk isu kecelaruan jadual perlawanan liga tempatan, isu penyertaan dan pembatalan pasukan Perlis di Liga Perdana selain status insurans pasukan yang masih tergantung sehingga kini.

Posa berkata, sebagai rakan kongsi yang memberi kepercayaan penuh kepada MFL untuk menaikkan nilai komersial Liga M dan kantung pasukan dalam liga, semua itu tidak berlaku seperti mana yang dijanjikan ketika di awal penubuhan FMLLP (sekarang MFL) beberapa tahun lalu.

Selain itu, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony mahu FAM kembali diberikan kuasa penuh bagi mengendalikan liga profesional di negara ini.

Beliau tidak begitu gemar dengan cara MFL menguruskan Liga M kerana terlalu banyak masalah yang timbul seperti isu geran, penundaan jadual perlawanan dan penarikan diri beberapa pasukan.

Mengulas lanjut, Serbegeth berkata, pembubaran MFL dan meletakkan pengurusan liga di bawah kendalian FAM tidak akan mendatangkan masalah atau isu berbangkit seperti yang terjadi baru-baru ini.

“Sebelum ini apabila FAM mengendalikan Liga M tidak ada masalah atau rasa tidak puas hati seperti sekarang ini hingga keadaan menjadi ‘panas’.

“Pasukan Liga M pun jauh lagi daripada taraf profesionalisme dan perkara itu sebenarnya mengambil masa untuk diubah, namun MFL gagal memahami seterusnya menyelesaikan perkara terbabit dengan baik,” katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 5:00am
d