utama

'Aduh' 3 kali ulang rakam

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

MESKI sudah 25 tahun bergelar penyanyi, Zamani Ibrahim tetap merendah diri apabila mengakui mempunyai kelemahan ketika merakamkan lagu terbaru berjudul Aduh.

Lagu berkonsep pop kontemporari itu ternyata berbeza dengan forte Zamani yang sebelum ini terkenal dengan lagu pop balada.

Zamani, 48, berkata, dia kurang berpuas hati dengan nyanyiannya menerusi lagu ciptaan Faizal Tahir, Adib Hussin, Mike Chan, Romeo, Karim Karam dan dirinya sendiri sehingga terpaksa ulang rakam sebanyak tiga kali.

“Vokal saya kena sesuai dengan lagu ini. Pada mulanya saya rakam ikut cara nyanyian lama. Namun, apabila dengar semula rasa janggal pula.

“Kemudian kami ubah. Ada bahagian yang perlukan lebih dinamik dan saya keluarkan skil yang ada sekarang. Selepas itu barulah Faizal puas hati.

“Kali ini saya mahu buat pembaharuan tetapi pendengar masih tahu itu nyanyian saya,” katanya.

Jelas Zamani, meskipun bertukar konsep, dia perlu mengekalkan identiti demi peminat yang setia menyokong karier seninya selama ini.

“Saya perlu pastikan peminat tak rasa janggal apabila dengar lagu ini. Memang kena ambil masa sikit tetapi saya sudah bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.

“Lagipun saya sudah berjanji dengan diri sendiri mahu hasilkan lagu yang ikut arus muzik semasa.

“Bukan bermaksud saya mahu jadi orang lain tetapi sekadar ingin relevan dengan generasi sekarang,” katanya.

Bercerita keistimewaan Aduh, Zamani berkata, ia merangkumi banyak perkara dan paling utama, Faizal Tahir satu nama besar dalam industri seni tanah air.

“Semua orang tahu lagu ciptaan Faizal bagus. Selepas dengar lagu dan liriknya, saya tertarik. Memang ada yang kata liriknya simple dan tak puitis.

“Namun sekiranya dikaji liriknya, ia mempunyai maksud mendalam. Terpulang kepada peminat untuk menilainya dari sudut mana.

“Bagi saya, lagu ini menggambarkan cinta dengan manusia sampai penyudah. Maknanya dia ber ‘Aduh’ dalam konteks cintanya kepada Allah,” katanya.

Sambung Zamani lagi, Aduh seakan menggambarkan perasaannya yang belum pulih sepenuhnya.

“Ketika menyanyi, inilah tanggapan saya. Namun bagi orang yang bercinta, mungkin lain pula tafsirannya. Masing-masing boleh buat kesimpulan sendiri.

“Ikutkan lagu ini tiada kena mengena dengan diri saya. Tak tahulah jika ia ada kaitan dengan Faizal. Bagaimanapun, ketika rakaman saya cuba masukkan diri dalam lirik. Bermakna, walaupun ia bukan cerita mengenai diri saya, kenalah ‘adakan’ juga,” katanya.

Zamani berkata, Aduh sudah lama disiapkan Faizal khusus buat dirinya dan proses rakaman dilakukan pada Januari lalu.

Berkongsi cabaran yang dilalui ketika merakamkan lagu itu, Zamani berkata, dia terpaksa menukar teknik pernafasan dan perlu melakukan banyak latihan.

“Range' lagu ini besar. Daripada rendah kepada tinggi, manakala ‘range’ suara saya pula pertengahan. Jadi kena banyak buat latihan angin agar masalah ruang pernafasan dapat diatasi.

“Kemudian, saya berdepan pula dengan masalah lenggok lagu dan ketika rakaman ketiga barulah okey dan berpuas hati.

“Setakat ini ada peminat yang boleh terima dan tak kurang juga sebaliknya. Ada yang cakap ia percubaan yang bagus tetapi ada juga kata lagu ini tak sesuai dengan suara saya.

“Bagi saya setiap benda baru pasti ada risikonya. Kita kena bersedia antara dapat yang terbaik atau sebaliknya.

“Saya sudah fikir masak-masak sebelum putuskan perkara ini dan perlu positif biar apa pun hasilnya. Jika single ini kurang menjadi, saya tak boleh patah semangat dan kena cuba lagi. Ini baru permulaan,” katanya.

Selain pelancaran single Aduh, Zamani turut melancarkan kempen #AduhZamaniKaraoke yang mana peminat perlu menyanyikan lagu itu dalam versi karaoke di mana-mana cawangan Red Box, Green Box atau Red Box PLUS Karaoke seluruh negara dan perlu memuat naik video di Instagram mereka dengan menggunakan tanda pagar #AduhZamaniKaraoke serta #RedBoxKaraokeMalaysia bagi memenangi hadiah wang tunai yang ditawarkan.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 5:30am
d