utama

Kakakku wira

Oleh Agensi

CUKUP menyayat hati apabila kanak-kanak berusia empat tahun ditemui kebuluran bersama adik berusia dua bulan, tiga hari selepas ibu mereka mati ditembak bapa yang kemudiannya membunuh diri dalam kejadian di California, Amerika Syarikat

Daily Mail melaporkan, budak perempuan itu menjaga adiknya selepas kematian ibu bapa mereka itu, sebelum ditemui jiran dalam keadaan tidak bermaya di tingkat bawah rumah berkenaan. Mayat ibu bapa mereka berada di bilik atas selepas kejadian pada 14 April lalu.

Ibu bapa mereka, David Kooros Parsa, 46, dan Mihoko Koike Parsa, 38, dipercayai mati kira-kira tiga hari sebelum itu.

Pada mulanya, polis dihubungi ahli keluarga mereka untuk datang memeriksa keadaan keselamatan di situ, namun beredar tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, mereka yang curiga cuba masuk ke rumah terbabit bersama tukang kunci dan jiran lain sebelum terkejut mendapati pembunuhan berlaku di rumah terbabit.

Sepasang suami isteri yang tinggal berhampiran, Olivia dan James Robinson menyangka ada sesuatu tidak kena selepas melihat keadaan kanak-kanak perempuan itu.

“Keadaannya agak teruk ketika itu selain berbau terlalu hancing. Wajahnya seakan-akan kebingungan dan hanya mendiamkan diri,” kata mereka.

Katanya, kanak-kanak itu juga memberitahu ibu bapa mereka sedang tidur tetapi berada dalam kesakitan.

Seorang lagi jiran, Tony Medina kemudiannya membawa kanak-kanak itu ke rumahnya untuk diberi makan sebelum polis tiba.

“Dia terdengar ibunya menangis dan ia amat menyayat hati apabila dia memberitahu ibunya menderita,” katanya kepada CBS Los Angeles.

Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan dua beradik berkenaan kini dalam jagaan Jabatan Perkhidmatan Kanak-Kanak dan Keluarga serta dilaporkan sihat.

“Kanak-kanak ini adalah wira sebenar apabila dia berjaya mengharungi kejadian ini dan menjaga adiknya,” kata jurucakap polis Los Angeles, Kapten Maureen Ryan.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 6:30am
d