utama

Maut diseret 13km

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PENUNGGANG motosikal berkuasa tinggi maut selepas diseret sejauh beberapa kilometer dipercayai oleh kenderaan berat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 272.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora, di Ipoh, hari ini.

Difahamkan pada 5.30 pagi, pihak PLUS menemui motosikal Kawasaki Z800 bersama kaki kiri mangsa di kawasan berkenaan, sebelum menemui mayat Mohamad Haris Mohamad Fuad, 23, di KM 260 iaitu hampir 13 kilometer (km) daripada lokasi mangsa dipercayai mula diseret .

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian 6.45 pagi dan siasatan awal polis mendapati mangsa menunggang sendirian dan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju rumah keluarganya di Pulau Pinang.

Menurutnya, mangsa dipercayai terbabas ketika tiba di lokasi kejadian sebelum digilis kenderaan lain yang belum dapat dipastikan jenis dan terseret sejauh beberapa kilometer.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengesan kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, kakak mangsa, Nur Fatin Nabillah, 25, berkata adik bongsunya daripada empat beradik itu bekerja sebagai penyelia di tapak projek Sistem Transit Aliran Massa (MRT) di ibu negara.

“Adik sudah lebih dua tahun bekerja serta memang sering pulang ke rumah keluarga di Taman Desa Jawi, Pulau Pinang dan awal pagi semalam dia ada memberitahu saya ingin pulang selepas habis bekerja.

“Daripada malam tadi kami tunggu dia tidak sampai-sampai sebelum pagi ini ayah dimaklumkan oleh polis mengenai kemalangan yang berlaku,” katanya ketika ditemui di HRPB di sini hari ini.

Menurutnya, jenazah adiknya akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Batu 5 Jalan Baharu, Parit Buntar, dekat sini untuk dikebumikan.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 3:47pm
d