utama

'Kita masih belum dapat lahir seorang juara dunia' [METROTV]

NAMA Jazeman Jaafar bukan asing dalam arena sukan permotoran tempatan selepas meraih pelbagai kejayaan di dalam siri perlumbaan seperti Formula 3 serta Formula Renault 3.5.

Terbaru, kejayaan meraih kemenangan di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) menerusi kelas perlumbaan LMP2 tahun lalu membuktikan Jazeman cukup berbakat dalam sukan empat roda itu.

Namun di sebalik semua itu, hasratnya untuk beraksi di perlumbaan Formula Satu (F1) sekali gus muncul pelumba kedua selepas Alex Yoong beraksi di saingan berpestij itu masih tidak kesampaian.

Tapi semangat serta usaha yang tidak pernah mengenal erti putus asa seharusnya menjadi contoh terbaik kepada pelumba lain.

Kini pada usia 26 tahun dan dianggap muda, Jazeman diberi tanggungjawab besar apabila dilantik Ahli Lembaga Pengarah Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ikuti temu bual wartawan SAIFUL AFFENDY SAPRAN dan jurugambar ASYRAF HAMZAH bersama Jazeman mengenai dunia barunya itu.

Apa yang terlintas di hati anda apabila ditawarkan jawatan Ahli Lembaga Pengarah SIC?

Sebelum lantikan itu saya ada bertemu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Ketika itu, beliau sedar mengenai potensi SIC sebagai hub automotif, hiburan dan pendidikan.

Pada masa sama, beliau juga sedar mengenai perlunya idea suara anak muda seperti saya yang patut dikongsikan bersama warga industri permotoran.

Jadi, apabila mendapat surat tawaran itu secara rasmi, saya rasa sangat bersyukur walaupun mengakui tanggungjawab yang perlu digalas, agak besar.

Adakah anda pernah menjangkakan akan memikul tanggungjawab sebesar itu pada usia 26 tahun?

Secara jujurnya tidak. Sebenarnya sejak penganjuran F1 dihentikan pada 2017, hala tuju untuk sukan empat roda agak samar berbanding sukan dua roda. Bagi saya, soal pembangunan dalam sukan permotoran ini sangat penting.

Jadi sebagai anak muda yang diberikan tanggungjawab untuk membangunkan sukan itu, saya perlu pastikan generasi akan datang mempunyai platform terbaik untuk mereka beraksi.

Mungkin anda sudah ada idea yang ingin dikongsikan?

Saya melihat kita perlu mempunyai lebih banyak kejohanan untuk sukan empat roda. Jika situasi sekarang diambil kira, hala tuju atau karier sebagai pelumba sukan empat roda memang sudah ada. Cuma kita perlu mencari jalan untuk meningkatkan pembabitan barisan pelumba kita.

Mungkin pengalaman luas anda dalam sukan permotoran termasuk berkelana di luar negara dapat membantu pembangunan di SIC?

Insya-Allah. Sebenarnya kita sudah mempunyai asas yang kukuh termasuk barisan pelumba berbakat. Tapi sehingga kini kita masih belum dapat menghasilkan seorang juara dunia. Begitu juga dengan sukan MotoGP.

Saya lihat sebagai pelumba, kita perlu mempunyai sasaran lebih besar iaitu untuk beraksi bersama pasukan pengeluar seperti Mercedes, Audi dan Nissan. Begitu juga kumpulan sokongan seperti mekanik yang mana mereka juga seharusnya perlu mempunyai cita-cita lebih besar.

Bagaimana perasaan anda ketika kali pertama menyertai mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah SIC pada 29 Mac lalu?

Agak istimewa kerana saya yang paling muda dalam kalangan yang lain. Begitupun banyak yang perlu saya belajar dan ia adalah normal. Walaupun ia pengalaman kali pertama, saya sudah berasa yakin untuk menggalas tugas ini dengan lebih baik.

Adakah dengan pelantikan ini perjalanan karier anda sebagai pelumba akan berakhir?

Saya sentiasa mempunyai matlamat untuk melangkah sejauh mungkin. Tapi untuk ketika ini saya mempunyai tanggungjawab kepada negara.

Kalau ada pengalaman kemudian ‘simpan’ pun tak guna juga. Lebih baik saya kongsikan pengalaman itu bersama pelumba kita.

Bagaimana hendak menepis tanggapan yang anda tidak cukup berpengalaman untuk menggalas tugas ini?

Sejujurnya dalam apa juga bidang, baik sukan atau pengurusan, anda perlu bekerja sebagai sebuah pasukan. Jika saya seorang menggalas tugas itu memang tak mampu. Tapi saya bersyukur kerana di dalam kumpulan Ahli Lembaga Pengarah SIC, saya dikelilingi individu berpengalaman terutamaa dalam bidang perniagaan. Dari sinilah kami bergerak sebagai satu pasukan.

 

Adakah anda ditugaskan khas hanya untuk memikirkan hala tuju sukan empat roda?

Pembabitan saya sebenarnya meliputi semua sukan empat dan dua roda. Cuma kelebihan saya adalah dalam sukan empat roda. Tapi lantikan saya bukan sekadar memikirkan mengenai perlumbaan saja. Saya juga bertanggungjawab untuk terbabit dengan aspek seperti perniagaan.

Adakah anda berasakan F1 dapat dianjurkan kembali di Malaysia?

Jangan pernah putus berharap. Tapi untuk membawa semula F1 ke Malaysia selepas ini kita perlu bertindak lebih bijak. Kita perlu memikirkan dengan kos yang sangat tinggi apakah kebaikannya dari aspek seperti pelancongan dan perniagaan. F1 perlu menjadi sukan yang membangunkan industri.

Kita tidak boleh lagi membawa semula F1 ke Malaysia semata-mata sebagai hiburan dan menjual produk F1. Pembabitan warga Malaysia perlu lebih berskala besar. Mungkin juga perlu ada pasukan F1 yang berpangkalan di sini.

Adakah anda kecewa impian ke F1 boleh dikatakan berakhir lantaran perlu memberi keutamaan kepada negara?

Sekiranya diberi peluang beraksi dalam kancah F1 sudah tentu saya akan menyahut cabaran itu. Tapi ketika ini kerajaan tampak begitu komited untuk membangunkan sukan permotoran. Jika tidak, sudah tentu sukan permotoran kita tak akan berkembang dan untuk itu saya rasa bertanggungjawab untuk tampil membantu.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 6:30am
d