utama

Tauliah beret biru

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PEKAN: Minat mendalam terhadap komando sejak bangku sekolah mendorongnya menyertai Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Malah, semangat membara untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh menjadikan Laskar Udara Aidil Affandy Ramli, 20, lebih tabah dalam menempuh segala dugaan dan cabaran mendatang sebelum ditauliahkan sebagai komando Paskau.

Usaha gigih tanpa mengenal putus asa itu akhirnya terbalas apabila dia dinobatkan sebagai rekrut terbaik dalam kursus disertai sejak Januari lalu.

Menceritakan pengalaman dan pahit getir ditempuh sepanjang tiga bulan menjalani latihan, Aidil Affandy berkata, pelbagai cabaran dilaluinya termasuk menjalani ujian selama sebulan di hutan.

“Kami (rekrut Paskau) hanya diberikan makanan dalam kuantiti sedikit sebelum masuk ke hutan dan menjalani latihan untuk terus dan kekal hidup guna sumber hutan yang ada.

“Ada ketika saya pernah tidak makan selama beberapa hari dan perlu berpuasa kerana bekalan makanan sudah tiada. Dengan latihan yang sudah diajar di Sekolah Latihan Tempur, Bukit Ibam, Rompin kami berjaya mengharunginya,” katanya pada majlis penganugerahan Beret Paskau dan penutup kursus Komando TUDM Siri 26/2019.

Majlis disempurnakan Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Ab Wahab di Tanjung Selangor, semalam.

Aidil Affandy berkata, ujian berjalan sejauh 160 kilometer (km) selama tiga hari dua malam adalah antara cabaran getir perlu dilaluinya bersama rakan rekrut lain.

Beliau yang berasal dari Damak, Jerantut itu memaklumkan pernah tidak tidur dua malam apabila terpaksa mendayung 120km di kawasan perairan Rompin sebelum ujian ditempuhi itu berjaya ditamatkan dengan sempurna.

Sementara itu, Laskar Udara Nik Mohamad Amri Azwar Nik Kamaruddin, 21, berkata, dia memilih untuk menyertai rekrut Paskau kerana mempunyai beberapa asas latihan menjadi komando seperti mampu menyelam dan mempunyai pengalaman melakukan penyelamatan tali.

“Kursus Paskau mengajar kita cara teruskan kehidupan dengan sumber terhad selain taktik operasi dan tempur.

“Ia mementingkan semangat setiakawan dan integriti,” katanya.

Katanya, walaupun baru setahun dalam perkhidmatan TUDM tapi cukup teruja sebaik dimaklumkan mengenai kursus pengambilan anggota Paskau sebelum ini dan segera mendaftarkan diri.

Seramai 19 penuntut daripada 32 calon asal berjaya menamatkan kursus itu selepas melalui latihan dan ujian lasak sebelum dianugerah beret biru.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 6:30am
d