utama

'Nak pro, ikut peraturan'

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Patuhi peraturan jika mahu meningkatkan kualiti Liga Malaysia (Liga M).

Itu saranan pemain legenda Portugal, Luis Figo kepada semua pasukan Liga M jika mahu melihat liga itu benar-benar bertaraf profesional, sekali gus berpotensi meningkatkan kualiti permainan.

Baginya, jika mahu maju, semua pasukan perlu ‘ikut buku’ dan mengikut garis panduan yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Menerusi kenyataannya di laman Facebook MFL, Figo yang kini penasihat kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) memberikan gambaran jelas bahawa setiap pasukan perlu untuk mematuhi syarat ditetapkan.

Malah, bekas bintang Barcelona dan Real Madrid itu juga memuji usaha Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengemudi MFL dengan baik.

”Sekiranya anda mahukan liga menjadi baik, kelab perlu mengikuti semua keperluan dan peraturan undang-undang.

”Apa yang diusahakan oleh TMJ (Tunku Mahkota Johor) adalah sesuatu yang sangat betul dan jelas berada di landasan tepat,” katanya, di sini.

Figo yang pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah turut menyifatkan keengganan pasukan untuk mematuhi peraturan ditetapkan akan membawa banyak perkara buruk seterusnya kualiti liga tidak akan meningkat.

”Jika kelab tidak mengikut ketetapan dan tidak mematuhi peraturan pertandingan liga, sesebuah liga itu tidak akan meningkat kualitinya,” katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan terdapat beberapa pihak yang bertanding dalam saingan liga mempertikaikan kredibiliti MFL sebagai pengurus liga kerana menetapkan beberapa peraturan hingga menjadi bebanan kepada mereka.

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais umpamanya mengemukakan enam dalil supaya Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam meletakkan jawatan daripada terus mengendalikan Liga M.

Katanya, terdapat banyak dalil yang menyebabkan rakan kongsi bersuara menuntut Kevin segera meninggalkan MFL termasuk isu kecelaruan jadual perlawanan liga tempatan, isu penyertaan dan pembatalan pasukan Perlis di Liga Perdana selain status insurans pasukan yang masih tergantung sehingga kini.

Posa berkata, sebagai rakan kongsi yang memberi kepercayaan penuh kepada MFL untuk menaikkan nilai komersial Liga M dan kantung pasukan dalam liga, semua itu tidak berlaku seperti mana yang dijanjikan ketika di awal penubuhan FMLLP (sekarang MFL) beberapa tahun lalu.

Selain itu, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony mahu FAM kembali diberikan kuasa penuh bagi mengendalikan liga bola sepak profesional di negara ini.

Beliau tidak begitu gemar dengan cara MFL menguruskan Liga M kerana terlalu masalah yang timbul seperti isu geran, penundaan jadual perlawanan dan penarikan diri beberapa pasukan.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 5:30am
d