utama

Lima maut kereta bertembung [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

LIMA termasuk bayi perempuan maut selepas Perodua Kancil dan Myvi bertembung di kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Simpang Sungai Ruan, di Raub, hari ini.

Kejadian 1.40 pagi itu turut mengakibatkan tiga mangsa parah termasuk dua kanak-kanak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, mangsa yang maut dikenali Hasliza Arini Muhamad @ Hamid, 34, Muhammad Khalish Kautsar Mohd Syaril, 2, yang juga penumpang Perodua Myvi, serta pemandu Perodua Kancil, Nasrul Fakhri Mansor, 38.

Sementara itu, dua lagi identiti mangsa yang maut yang juga penumpang Perodua Kancil masih belum dikenal pasti.

Katanya, mereka yang parah, pemandu Perodua Myvi, Mohd Syaril Sulaiman, 44, penumpang belakang kenderaan itu Khaliesah Khairina Mohd Syaril, 7, Dhia Afriena Mohd Syaril, 5.

“Siasatan awal kita mendapati Nasrul Fakhri dikatakan memandu dari arah Kota Bharu menuju ke ibu negara sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Kita percaya dia memandu dalam keadaan mengantuk sebelum kenderaan yang dipandunya bertembung dengan Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati Mohd Syaril cuba mengelak kenderaan itu, namun gagal kerana jarak yang terlalu hampir.

Kamarulzaman berkata, ekoran itu lima mangsa maut di tempat kejadian manakala tiga yang parah berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Lipis.

Katanya, siasatan di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan raya lurus serta gelap dan tidak berlampu.

“Polis kini sedang mengesan saksi kemalangan untuk membantu siasatan, mereka yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu pihak polis,” katanya.

Kamarulzaman berkata, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 9:47am
d