utama

Bekas isteri ugut bunuh anak [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

IBU dipercayai mendera tiga anak kandungnya termasuk seorang yang kurang upaya (OKU), dalam kejadian di rumah mereka di Georgetown.

Tidak tahan dengan kesakitan yang ditanggung, tiga kanak-kanak terbabit masing-masing berusia dua hingga 11 tahun melarikan diri ke rumah nenek mereka yang tinggal berhampiran.

Bapa kanak-kanak itu berusia 40 tahun berkata, selepas berpisah dengan bekas isteri, 42, Jun tahun lalu, tiga anaknya termasuk seorang yang juga pesakit Encephalocele (otak di luar tempurung kepala), tinggal bersama ibu mereka.

Katanya, dia tidak tahu mengenai perbuatan itu sehinggalah dihubungi bekas ibu mentuanya pada April lalu yang memintanya mengambil tiga anak mereka di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana ibu kanak-kanak itu menghilangkan diri selepas anaknya itu ditahan di wad disyaki didera.

Katanya, dia dimaklumkan yang bekas ibu mentuanya sudah membuat laporan di Balai Polis Tanjong Tokong pada 16 April lalu berhubung penderaan yang dilakukan bekas isteri terhadap tiga anak mereka itu.

“Anak sulung saya dipukul dengan besi di lengan kiri dan kaki kiri sehingga lebam, manakala anak kedua pula ditendang pada kemaluan selain bekas isteri mengugut mahu membunuh mereka menggunakan pisau.

“Manakala badan anak bongsu yang juga OKU pula digoncang, mujurlah tidak memberi kesan terhadap penyakit di kepalanya dan laporan yang dibuat ibu mentua adalah kerana bimbang dengan keselamatan anak saya,” katanya ketika ditemui dekat sini, hari ini.

Lelaki itu berkata, tiga kanak-kanak terbabit kini di bawah jagaannya bersama ibu di Kampung Tanjong Tokong.

“Dua anak saya seakan trauma dan boleh menceritakan kembali dengan jelas kejadian terbabit, malah difahamkan, mereka sering diperlakukan dengan kasar dan saya tidak pasti mengapa bekas isteri berubah sikap begitu.

“Selain tidak diberi makan, anak sulung dan kedua juga tidak dibenarkan bersekolah sejak tahun lalu sedangkan saya tidak pernah culas memberi wang belanja.

“Hanya selepas kejadian itu, saya berhubung dengan guru dan kini mereka sudah kembali bersekolah sejak minggu lalu,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai minuman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 2:49pm
d